Setahun mengurat, lelaki 86 tahun bergelar pengantin baharu
Sinar Harian
Januari 29, 2024 17:40 MYT
Januari 29, 2024 17:40 MYT
BACHOK: Seorang warga emas berusia 86 tahun dari Kampung Aman, Kandis di sini meluahkan rasa syukur apabila pinangannya diterima selepas setahun mengurat wanita idaman hati.
Abdullah Ali yang mempunyai tiga anak berusia 60 hingga 65 tahun itu berkata, pinangannya pernah ditolak oleh isteri, Siti Zabidah Zakaria, 63, yang ketika itu belum terbuka hati untuk berumah tangga.
"Selepas ditolak, saya tidak berputus asa. Setahun saya cuba tambat hatinya, alhamdulillah jodoh kami ada dan selamat disatukan pada Sabtu lalu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Isnin.
Sebelum itu tular di TikTok majlis akad nikah Abdullah dan Siti Zabidah yang diadakan di Masjid Al-Abrar, Mukim Pauh Sembilan.
Ujarnya, bukan mudah untuk menambat hati Siti Zabidah kerana pada awalnya dia tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin.
Dia memberitahu, hal ini kerana sebelumnya Siti Zabidah pernah berkahwin dua kali dan kedua-dua suaminya telah meninggal dunia iaitu pada tahun 2003 dan 2021.
"Lagipun kami berdua masing-masing tinggal sendirian.
"Kebetulan anak-anak saya sama baya dengan isteri dan memberi restu untuk kami bersatu," katanya.
Menurut Abdullah, perkahwinan itu lebih kepada ingin mencari teman untuk menghabiskan sisa-sisa hidup.
Ujarnya, setakat ini penglihatannya masih jelas dan boleh memandu, dia begitu seronok dapat membawa Siti Zabidah bersiar-siar.
Kata petani itu, dia juga tidak mempunyai sebarang penyakit begitu juga dengan Siti Zabidah walaupun sudah berusia. - Sinar Harian