Setahun kerja dari rumah, kerajaan perlu dengar masalah pekerja - MTUC
Harits Asyraf Hasnan
Februari 13, 2021 15:07 MYT
Februari 13, 2021 15:07 MYT
KUALA LUMPUR: Masalah yang ditanggung pekerja yang bekerja dari rumah sejak hampir setahun lalu perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) berpandangan, banyak permasalahan para pekerja masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Tegas Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani, kos pembelian peranti, caj utiliti seperti elektrik dan data internet masih kekal menjadi permasalahan para pekerja.
"Apabila bermulanya arahan bekerja dari rumah, semua keperluan asas atau peralatan bekerja amat kita perlukan seperti komputer meja dan komputer riba, subsidi utiliti meliputi elektrik dan data internet.
"Perkara itu telah kita suarakan supaya kerajaan memberi diskaun kepada majikan ataupun pekerja. Tambahan lagi, semua anak-anak kita belajar dari rumah. Untuk belajar dan bekerja dalam talian ini sememangnya menggunakan data internet yang banyak, sekali gus meningkatkan kos kepada pekerja.
"MTUC telah lama suarakan supaya kerajaan melihat semula, tetapi sehingga kini belum ada perbincangan secara khusus tiga pihak iaitu bersama Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan kerajaan untuk kita bincang bagi tangani isu-isu ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Malah, beliau akui para pekerja yang berkeluarga turut menanggung kos tinggi ekoran perlu menyediakan peranti pembelajaran serta data internet untuk anak-anak yang menjalani pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).
"Dari segi keperluan peranti, memang telah ada potongan diskaun untuk pembelian komputer melalui pengecualian cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), tetapi kalau boleh kerajaan beri diskaun dalam menggalakkan lagi.
"Dari segi telekomunikasi, jika kita lihat di luar negara, kebanyakkan mereka yangb bekerja dari rumah itu diberi data percuma dan ia boleh membantulah pekerja.
"Malah, kerajaan perlu beri perhatian kepada mereka yang berada di luar bandar, akses internet agak sukar, jadi itu antara perkara yang perlu dipertimbang oleh kerajaan untuk pastikan mereka yang bekerja dari rumah ini efektif," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan dikemukakan MEF supaya kerajaan menambah insentif kepada pekerja dan majikan dalam mengurangkan bebanan sedia ada susulan arahan bekerja dari rumah.
#kerja dari rumah
#Bekerja Dari Rumah
#BDR
#WFH
#work from home
#MTUC
#MEF
#LHDN
#subsidi
#Internet
#cukai