Setahun genosid Gaza: Negara Islam perlu cuba hentikan perang terhadap Gaza - Kedutaan Iran

Bernama
Oktober 7, 2024 18:00 MYT
Sejarah penentangan rakyat Palestin telah membuktikan bahawa walaupun berdepan pembunuhan kejam, rakyat Palestin tidak pernah berhenti berjuang untuk memiliki negara mereka sendiri. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Negara Islam perlu menggunakan kesepakatan dalam menyokong rakyat Palestin sebagai peluang untuk menghentikan perang habis-habisan terhadap Gaza dan genosid oleh Israel, menurut kenyataan dari Kedutaan Iran di sini.
Republik Islam Iran, seperti negara Islam lain termasuk Malaysia, menyokong Palestin dan berusaha untuk kebebasan serta kemerdekaan Palestin, menurut kenyataan yang dikeluarkan sempena ulang tahun pertama perang genosid Israel terhadap Gaza yang masih berlanjutan.
"...di kedua-dua negara, Iran dan Malaysia, kita menyaksikan simpati meluas daripada rakyat terhadap warga Palestin, dan buat pertama kalinya, kita melihat kesepakatan yang belum pernah terjadi di kalangan negara Islam dalam keperluan untuk menghentikan pembunuhan rakyat Palestin di Gaza," menurut kenyataan itu.
Beberapa negara, termasuk Afrika Selatan, mengetuai kempen perundangan diplomatik menentang rejim pendudukan Israel di institusi perundangan antarabangsa, menjadi contoh yang boleh diikuti oleh semua negara.
Iran, Malaysia, dan banyak negara lain menyokong sepenuhnya tindakan terkini Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Kenyataan itu menyoroti kesan buruk terhadap rakyat Gaza yang tidak bersalah sepanjang tahun lepas, dengan menyatakan bahawa puluhan ribu wanita dan kanak-kanak telah terkorban dalam serangan membabi buta oleh rejim Zionis, dengan tragedi yang tidak pernah terjadi dalam peperangan selama 100 tahun terakhir.
Sejarah penentangan rakyat Palestin telah membuktikan bahawa walaupun berdepan pembunuhan kejam, rakyat Palestin tidak pernah berhenti berjuang untuk memiliki negara mereka sendiri.
Menurut kenyataan itu, untuk menggambarkan imej kemenangan dalam perang dengan rakyat Gaza yang tidak bersenjata, rejim Zionis mengalihkan perhatiannya kepada Beirut dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan mendakwa bahawa mereka berada di peringkat akhir untuk menutup kes Gaza, dan telah meningkatkan serangan dan pengeboman udara terhadap Beirut untuk membunuh komander penentangan Lubnan. Namun mereka gagal mencapai matlamat itu.
Kedutaan Iran menyatakan bahawa hampir setahun selepas operasi Ribut Al-Aqsa, isu Gaza dan Palestin masih berada di barisan hadapan berita dunia. Kenyataan itu juga menyatakan bahawa pendapat umum global telah beralih menentang rejim pendudukan Israel, dengan protes meluas di seluruh benua dan kebanyakan negara sepanjang tahun lalu. Penentangan terhadap pendudukan Israel terus meningkat.
Kedutaan itu seterusnya menekankan umat Islam di seluruh dunia menolak normalisasi hubungan dengan rejim Zionis dan meneruskan usaha mereka untuk mengutuk serangan Israel di Palestin dan Lubnan.
Pembunuhan Syahid Ismail Haniyeh di Tehran oleh rejim Zionis adalah percubaan untuk melemahkan semangat dan tekad rakyat Palestin, tetapi sejarah telah membuktikan bahawa kesyahidan pemimpin penentangan hanya akan mengukuhkan lagi tekad para pejuang untuk melawan pencerobohan dan pendudukan, tambahnya.
-- BERNAMA
#setahun genosid Gaza #kedutaan Iran #rakyat Palestin #kekejaman israel
;