Setahun genosid Gaza: MAPIM seru rakyat Malaysia tunjuk perasaan 11 Okt ini

Intan Shanim Sulaiman
Oktober 7, 2024 16:52 MYT
Selepas 365 hari genosid berlangsung kejam dan biadab di Gaza, kutukan tidak akan menghalang atau menghentikan kezaliman Israel. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Serangan kejam Zionis Israel di Gaza yang berlangsung selama setahun lamanya, dianggarkan telah meragut lebih 50,000 nyawa, termasuk 17,000 kanak-kanak dan 15,000 wanita, jumlah mengatasi korban dari empat peperangan terdahulu antara 2008 hingga 2021.
Presiden Malaysian Consultative Council of Islamic Organizations (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, selepas 365 hari genosid berlangsung kejam dan biadab di Gaza, kutukan tidak akan menghalang atau menghentikan kezaliman Israel.
Justeru katanya lagi, MAPIM ingin menyeru rakyat Malaysia untuk turut berkumpul bersama menyertai satu tunjuk perasaan di Kuala Lumpur pada 11 Oktober ini dan menyerah memorandum kepada Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.
“(MAPIM) menggesa semua masyarakat awam di Malaysia untuk memberikan sokongan penuh kepada perjuangan Palestin dan menghulurkan semua bantuan moral dan material ke Gaza. Kami menekankan bahawa isu Palestin melangkaui sempadan agama dan negara. Ia adalah isu kemanusiaan dan prinsip tentang keadilan dan undang-undang antarabangsa.
“Selain itu kami menyeru rakyat dan kerajaan Malaysia untuk mempergiatkan kempen boikot dan pengalihan pelaburan terhadap semua kepentingan Israel dalam setiap bidang - perdagangan, perkhidmatan, sosial dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu Azmi berkata, akan tercatat dalam sejarah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu organisasi yang gagal, tidak berupaya bertindak akibat ditundukkan oleh arahan Amerika Syarikat.
Beliau berkata, PBB tidak boleh dilihat sebagai sebuah organisasi yang hanya boleh mengadakan persidangan tetapi tidak mempunyai mandat untuk menguatkuasakan sebarang resolusi.
“MAPIM turut mendesak kerajaan Malaysia untuk menyeru PBB mengenakan sekatan ke atas Israel dan menggunakan tekanan antarabangsa maksimum untuk menghentikan kebiadaban Israel dan menggantung atau memecat keahlian Israel dalam PBB.
“Kami juga menyeru campur tangan tentera PBB untuk melindungi orang awam di Gaza dan memastikan semua akses kemanusiaan disalurkan tanpa sebarang halangan,” tegasnya lagi.
#MAPIM #Kekejaman zionis #tunjuk perasaan #11 Oktober #setahun genosid Gaza
;