Setahun dilanda COVID-19, di mana laporan penilaian PdPR? - PAGE
Harits Asyraf Hasnan
Jun 6, 2021 18:35 MYT
Jun 6, 2021 18:35 MYT
SISTEM pendidikan negara terus diuji selepas Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil keputusan untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) sehingga 17 Julai depan.
Setiausaha Kehormat, Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Tunku Munawirah Putra berpandangan, lebih setahun pandemik itu melanda negara, masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan kerajaan.
Tegasnya, tatkala PdPR perlu diteruskan, masalah peranti masih belum diselesaikan, yang akan memberi impak kepada pembangunan modal insan negara.
Ikuti temu bual Astro AWANI bersama beliau.
SOALAN: Apakah pandangan PAGE susulan pengumuman baharu yang dibuat KPM hari ini?
JAWAPAN: Berkenaan dengan penutupan sekolah yang berlanjutan, penerusan PDPR dan ketetapan tarikh SPM adalah seperti yang dijangkakan, tidak dapat dielakkan, dan adalah langkah yang tepat untuk membendung wabak COVID-19 bagi tahun ini.
Ia juga memberi masa untuk guru dan pelajar lebih bersedia untuk persiapan SPM.
SOALAN. Pelajar di seluruh negara akan meneruskan PdPR. Adakah inisiatif ini dilihat sesuai? Serta apa yang perlu ditambah baik?
JAWAPAN: Ya, hendak atau tidak, PdPR perlu diteruskan. Tiada masalah untuk guru-guru and pelajar yang berkelengkapan PdPR dan yang sudah biasa dan mampu mengikutinya setelah lebih setahun mengikuti kaedah PdPR.
Sebilangan guru yang bersedia dan mampu menyesuaikan diri memang sentiasa memperbaiki pengajaran mereka dengan inisiatif sendiri. Syabas dan tahniah diucapkan kepada guru-guru ini.
Tetapi di sebaliknya, persoalan yang timbul adalah apakah pelan untuk menangani mereka yang tercicir dan guru yang tiada kelengkapan, dan masih terkapai-kapai dengan PdPR?
Menteri ada menyebut tentang sokongan dan latihan yang akan diberikan guru. Tetapi amat kesal yang tiada adalah perincian berkenaan kaedah dan strukturnya, dan hanya mengikut kesesuaian guru dan murid berdasarkan garis panduan PdPR yang sedia ada.
Kenyataan ini tidak boleh diterima, kerana ia menunjukkan kealpaan.
Kami (PAGE) juga ingin tahu perangkaan, sebanyak mana keberkesanan PdPR yang telah dilaksanakan selama ini?
KPM perlu menunjukkan data serta memberi ulasan keberkesanan PdPR dan juga cara penambahbaikkan yang dilakukan, termasuklah pengagihan alat peranti serta data yang menujukkan peningkatan penggunaan.
Menteri langsung tidak memberi ulasan dan maklum balas sama ada KPM telah membuat penilaian ke atas pelaksanaan PdPR setakat ini.
SOALAN: Pemberian peranti kepada keluarga B40 dijangka selesai September 2021: Adakah ia memadai atau masih perlahan? Belum cukup atau perlu disegerakan?
JAWAPAN: Daripada 150,000 alat peranti yang telah diluluskan pada Bajet 2021 bulan November tahun lepas yang perlu diagihkan bagi tujuan PdPR, hanya 12,887 atau kurang dari 10 peratus diagihkan setakat ini?
Agak tidak munasabah, apa yang membabitkan (menyebabkan) kelewatan pengedarannya, memandangkan PdPR adalah keutamaaan kaedah pembelajaran.
Soal peranti patut tidak dibangkitkan lagi, hanya persoalan logistik yang perlu dikemas kini.
Perancangan jangka panjang capaian Internet di daerah-daerah terpencil juga perlu diberi keutamaan.
Sebanyak mana ia telah diperluaskan setakat ini, perlu juga diketahui.
SOALAN: Apa gesaan PAGE kepada KPM tatkala kes COVID-19 masih tidak menentu, dan PdPR diteruskan?
JAWAPAN: Setelah lebih setahun berhadapan dengan isu-isu pembelajaran jarak jauh begini, lebih baik KPM merangka Rancangan Jangka Panjang Pendidikan Jarak Jauh dengan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada ibu bapa, guru-guru, pelajar-pelajar dan pihak-pihak berkepentingan.
Kerajaan nampaknya prihatin pada soal ekonomi dalam menangani wabak COVID-19 ini.
Kita juga perlu tegas dan tekankan soal kelangsungan dan kelancaran pendidikan anak-anak kita yang perlu diberi perhatian lebih serius supaya tidak berlaku keciciran yang lebih teruk.
Masalah ini akan memanifestasi kepada generasi yang hilang jika ia tidak ditangani sebaiknya dengan segera.
Ia perlu diselesaikan sekarang.
#pendidikan
#pelajar
#ekonomi
#sekolah
#pengajaran dan pembelajaran
#Kementerian Pendidikan
#pandemik
#COVID-19
#SPM
#guru
#peranti
#Komputer Riba
#PdPR
#belajar dari rumah