Setahun COVID-19: Pengajaran dan survival
G Manimaran
Januari 25, 2021 09:14 MYT
Januari 25, 2021 09:14 MYT
HARI ini genap setahun negara merakamkan kes jangkitan yang pertama.
Ketika menghampiri 365 hari, negara juga merekodkan jangkitan paling tinggi iaitu 4,275 kes pada 23 Januari lalu.
Tanpa disangka-sangka seolah-olah kita kehilangan kebebasan yang dikecapi selama ini.
Ramai menarik nafas panjang bila agaknya segala kesukaran yang dilalui akan berakhir.
Sinaran diharapkan belum jelas.
Pada 25 Januari 2020, negara telah merekodkan kes pandemik COVID-19 pertama, yang ketika itu masih dikenali sebagai 2019-nCoV.
Kes itu dikaitkan dengan kehadiran warga China yang memasuki negara melalui Tambak Johor.
Sementara ramai bersimpati dengan krisis kesihatan terburuk dialami oleh rakyat negara itu, berdasarkan kepada pengalaman masa-masa lalu, ramai daripada kita beranggapan Malaysia bebas daripada wabak ini.
Tanggapan itu meleset tidak sampai dua bulan. Rasa lega ketika itu tidak kekal lama. Sebaliknya, kes jangkitan meningkat dengan ketara.
Daripada satu digit ia mencecah kepada dua digit dan seterusnya tiga dan empat digit dalam tempoh tidak sampai satu tahun sebagaimana disaksikan pada hari ini.
Hari ini kita berhadapan dengan norma baharu kehidupan yang sehingga awal 2020, tahun yang dijadikan sebagai indikator kemajuan negara dalam pelbagai segi, tidak disangkakan sama sekali.
Paling jelas, norma baharu kini dihayati, dilalui dan dialami di setiap peringkat kehidupan tidak kira sektor dan status sosioekonomi.
Ia telah memberi impak yang dahsyat ke atas setiap individu, keluarga, institusi, sektor dan juga kerajaan.
Sudah pasti impaknya akan berterusan untuk beberapa tahun lagi sebelum keadaan kembali normal.
Ketika tiada sebarang pilihan, setiap rakyat Malaysia sudah mula menjadikan norma baharu sebahagian daripada kehidupan mereka.
Banyak pengajaran dan pengalaman telah dibina sepanjang 365 hari lalu.
Pandemik paling buruk dalam dunia ini telah membawa kepada kepentingan menitikberatkan gaya hidup sihat dan kebersihan sepanjang masa.
Tidak dapat dinafikan Kementerian Kesihatan telah menekankan kepentingan aspek ini sejak beberapa tahun sebelum COVID-19 menjelma, tetapi tidak mendapat sambutan pematuhan menyeluruh masyarakat.
Suka atau tidak, perlu ditegaskan wabak ini telah menyegarkan semula kepentingan mengamalkan kebersihan sepanjang masa.
Badai wabak ini turut telah menggugat punca pendapatan kebanyakan rakyat. Ada yang hilang pekerjaan dan terpaksa bercuti tanpa gaji.
Terdapat syarikat yang terpaksa gulung tikar dan ada berada di ambang muflis.
Ramai menjadi miskin dalam era moden. Ada yang berhadapan dengan kemerosotan simpanan. Hanya tinggal harapan – sinaran akan tiba dalam waktu terdekat.
Siri bantuan kerajaan menerusi pakej rangsangan selain sokongan pelbagai pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan kerajaan sedikit sebanyak mengubati detik-detik sukar.
Jika COVID-19 telah membawa 70 peratus impak negatif, pandemik ini juga telah mewujudkan peluang-peluang baharu untuk menjana rezeki.
Beberapa tahun sebelum berhadapan dengan serangan COVID-19, dunia telah dikejutkan oleh impak yang diakibatkan oleh teknologi disruptif.
Teknologi disruptif ini seumpama syiling mempunyai dua wajah – impak positif dan impak negatif.
Jumlah rakyat yang berhadapan dengan masalah emosi dan psikologi juga tidak harus dipandang remah. Secara tidak langsung kehadiran COVID-19 telah menggugat keharmonian hidup.
Sebahagian rakyat tidak dapat berhadapan tekanan hidup akibat COVID-19. Malah ada yang tidak boleh menerima kesan atau impak norma hidup baharu.
Misalnya tidak semua dapat menyesuaikan dengan tekanan yang diakibatkan oleh norma baharu kehidupan dan juga impak COVID-19.
Kesatuan rakyat
Satu aspek positif, COVID-19 juga membawa kepada kesatuan rakyat untuk menangani bersama cabaran terbaharu ini.
Kita tidak menghadapi krisis besar selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan keganasan komunis.
Meskipun wujud perbezaan politik keseluruhan rakyat terus memperlihatkan komitmen dan iltizam.
Bermula daripada Yang di-Pertuan Agong sehingga rakyat jelata. Pun begitu tidak dapat dinafikan masih banyak yang perlu dilakukan.
Rakyat perlu mempertimbangkan tahap pematuhan yang tinggi. Rakyat tidak kaum saling bantu mereka yang memerlukan bantuan dalam pelbagai segi.
Diharap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang bukan sahaja harus diutamakan dalam memerangi COVID-19, tetapi dalam aspek kehidupan yang lain.
Ini kerana krisis boleh datang dalam apa jua bentuk.
Setiap warga perlu membina tekad untuk mematuhi setiap kerangka perundangan bagi melahirkan sebuah negara yang maju dalam semua segi termasuk memiliki disiplin, etika dan integriti tinggi. COVID-19 sebenarnya telah memberi pengajaran yang amat penting dalam aspek.
Pada masa yang sama COVID-19 juga telah membawa kepada keperluan untuk bersiap sedia bagi menghadapi krisis besar pada masa akan datang, di samping memperkasakan strategi kemudahan awam khususnya dalam sektor kesihatan di seluruh negara terutama di kawasan-kawasan pedalalam. Juga fasiliti bidang-bidang lain.
Kini masa untuk melihat semula kerangka strategi keseluruhan infrastruktur, dasar dan program sebagai kesiapsiagaan memperkasakan norma baharu kehidupan.
Di sebalik COVID-19 ramai mengakui bahawa mereka mula menghargai erti kehidupan berkualiti. Hidup ini satu ekosistem.
Kita tidak hidup tanpa hubungan dan kita tidak boleh mengetepikan kepentingannya. Kita bergantung satu sama lain.
Kebergantungan dan perkongsian yang bermakna. Kita perlu ingat bahawa kita telah diberi hadiah yang dinamakan hidup dan kita harus menghargainya.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang boleh dilihat sebagai satu bentuk ‘berkurung di rumah’, yang hanya bersifat sementara, telah mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Ramai mula sedar tentang nilai ini meskipun penjarakan sosial telah memisahkan kita.
Sempena setahun kehadiran COVID-19 di Malaysia, wajar dikongsi penghargaan kepada staf barisan hadapan yang terus bertungkus-lumus dalam perang melawan wabak ini, terutama pegawai-pegawai perubatan.
Virus ini akan menjadi sebahagian daripada dan akan kekal dalam ekosistem kehidupan manusia selama-lamanya.
Kita mendoakan keluarga yang telah kehilangan mereka yang tersayang akibat pandemik ini diberikan kekuatan untuk menghadapi detik-detik yang sukar dan norma baharu.
Sekiranya pandemik selesema 1918, yang lazimnya disebut sebagai Selesema Sepanyol, telah mengubah wajah kehidupan satu dunia lebih satu abad lalu, wabak COVID-19 juga telah dan akan membawa perubahan ketara yang tidak disangka sama sekali.
Semoga segala pengalaman dan pengajaran yang diperoleh akan membawa kehidupan yang lebih baik umat manusia.
Ketika kita melampaui batasan jarak sosial dan memasuki norma kehidupan pasca-COVID-19, apa yang penting setiap individu akan mengambil pengajaran dan petua baharu yang diperoleh bagi membina kehidupan yang lebih bermakna.
Kehidupan ini merupakan satu perjalanan penuh dengan pengajaran. Kita belajar dan terus belajar.
Pandemik COVID-19 satu lagi lipatan sejarah yang akan membawa kita ke hadapan.
Apa yang penting adalah sejauh mana segala pengalaman dan pengajaran ini akan digunakan untuk membina kehidupan yang lebih baik bagi setiap individu yang ada pada hari ini dan bagi generasi akan datang.
Pemerhatian penulis dan pengalaman pihak lain menunjukkan kita ada banyak perkara yang perlu dilakukan untuk menambah baik kualiti sosioekonomi – kemudahan, prasarana dan infrastruktur serta sikap dan budaya hidup di setiap bahagian, peringkat, wilayah dan pelosok negara dan dunia.
Umpama kata pepatah “ada rotan, ada duri”, diharap impak yang diakibatkan oleh COVID-19 akan membawa rahmat kepada umat manusia.
Kita akan kembali merasai kebebasan normal dalam waktu terdekat jika semua sanggup berkorban iaitu mematuhi SOP dengan ketat, penuh berdisiplin dan komitmen.
* Dr G Manimaran merupakan perunding media dan kewartawanan.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
#COVID-19
#genap setahun
#kes jangkitan pertama
#rekod jangkitan paling tinggi
#WHO
#PKP
#norma baharu
#2019-nCoV