Sesuatu yang memalukan undi Ahmad Maslan sebagai calon Timbalan Speaker - Howard Lee
Faris Danial Razi
September 11, 2021 20:22 MYT
September 11, 2021 20:22 MYT
KUALA LUMPUR: Sesuatu yang amat memalukan untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli-ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk mengundi Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai calon Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, kata Howard Lee.
Ketua DAPSY Kebangsaan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, Ahli Parlimen wajib untuk tidak mengundi Ahmad Maslan bagi mempertahankan martabat parlimen.
“Jangan kita lupa, ikrar pada jam-jam akhir Muhyiddin Yassin adalah untuk tidak akan bekerjasama dan menyokong individu terkait dengan ‘kluster mahkamah’.
“Ahli Parlimen Pontian itu, yang cukup dikenali dengan pelbagai keletah, telahpun didakwa di mahkamah kerana memberikan maklumat palsu kepada SPRM.
“Beliau turut didakwa bersabit tuduhan AMLA selepas menerima sebanyak RM2 juta daripada Najib Razak dan bakal menjalani perbicaraan di mahkamah mulai 7 Jun 2022,” ujarnya.
Tambah Howard yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pakatan Harapan, adalah lebih baik segala kudrat, masa dan tenaga beliau ditumpukan untuk menjawab pertuduhan tersebut kelak.
“Atas sebab tersebut, adalah lebih baik untuk beliau tidak dipertanggungjawabkan dengan bebanan tugas sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Saya turut menggesa supaya Ahli-ahli Parlimen untuk tidak mengundi mana-mana pemimpin ‘kluster mahkamah’ kerana ia akan menambah kerosakan yang telah sedia berlaku sekarang di bawah pimpinan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Kita tidak boleh membiarkan pimpinan yang tidak bersih untuk mencalarkan nama baik institusi tersebut,” tambah beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji itu pada masa sama memohon agar kesemua 220 Ahli-ahli Parlimen untuk mengundi berdasarkan hati nurani masing-masing.
“Martabat, integriti dan reputasi Dewan Rakyat sebagai asas kepada sistem demokrasi kita tidak boleh dikotori dan dicemari apabila kerusi penting tersebut diduduki oleh seseorang yang masih belum dibersihkan oleh mahkamah,” jelasnya lagi.