Sesi sekolah 8 pagi: Kekalkan tempoh belajar, namun semak semula silibus

Rahimah Abdullah
Februari 1, 2023 17:06 MYT
Semakan dan audit perlu dilakukan ke atas silibus pendidikan yang memperlihatkan berlaku pertindihan dalam beberapa mata pelajaran. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Tempoh pembelajaran di sekolah perlu dikekalkan jika sesi persekolahan dicadangkan bermula jam 8 pagi.
Sebaliknya jelas Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, semakan dan audit perlu dilakukan ke atas silibus pendidikan yang memperlihatkan berlaku pertindihan dalam beberapa mata pelajaran.
"Dengan semakan ini, kita dapat melihat semula, memberikan keutamaan, dan memberikan kepadatan silibus dan mungkin mata pelajaran.
"Kalau lihat di negara maju, misalnya Sains itu tidak diajar di Tahun 1, 2 dan 3. Mereka memulakannya pada Tahun 4 sebab Tahun 1, 2 dan 3 itu adalah fokus membaca menulis dan mengira. Yang kedua, keseronokan bermain dan merasakan (suasana) sekolah menyeronokkan," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
BACA: Cadang sesi persekolahan bermula 8 pagi
Justeru katanya, tiga tahun pertama sekolah rendah tidak memerlukan subjek yang terlalu banyak.
"Sebaliknya kita perlu tunjukkan kepada anak-anak bahawa pendidikan itu adalah sesuatu yang menggembirakan mereka.
"Kita sudah hidup bertahun dalam alam persekolahan yang kompleks dan apabila dewasa dia tak mahu nak masuk sekolah. Mereka boleh ingat dengan pengalaman semasa sekolah ialah semasa bermain dengan kawan-kawan dengan guru berbanding soal kurikulum," ujarnya.
Selain itu katanya, psikologi pelajar akan lebih baik jika sesi persekolahan bermula 8 pagi berbanding 7.30 pagi pada ketika ini.
Tambahnya, tempoh masa ke sekolah yang dianjakkan memberi ruang kepada ibu bapa untuk menyiapkan anak-anak dan sekali gus memastikan pelajar lebih bersedia untuk memulakan sesi persekolahan.
"Kalau anak-anak itu datang 7.15 pagi, mereka ada sekitar 20 minit untuk bertenang, mereka dapat bergaul, bersosial dengan kawan-kawan di sekolah rendah dan bermain bersama-sama sebelum sesi persekolahan bermula. Amalan ini bukan baharu, 10 minit pertama digunakan untuk berinteraksi dengan baik dan mereka tidak berada dalam kekalutan.
"Sistem pendidikan kita sebab 7.30 pagi, kita tengok masyarakat begitu kalut di awal pagi. Awal pagi sepatutnya lebih tenang, lebih menggembirakan, kekeluargaan dan anak dan ibu bapa bersedia ke sekolah dan tempat kerja lebih baik .
"Jadi soal cemerlang bukan sahaja akademik tetapi juga soal kehidupan kita dan itu juga sebab kita lihat banyak sekolah antarabangsa sudah lakukan sistem sesi persekolahan bermula jam 8 pagi dan respons ibu bapa dan guru dilihat sangat positif," tambahnya.
#Pantau Kerajaan Baharu #Dr Anuar Ahmad #sesi persekolahan #sekolah 8 pagi
;