Sesi sekolah 8 pagi bukan keutamaan setakat ini - Fadhlina
Ridauddin Daud
Februari 3, 2023 17:51 MYT
Februari 3, 2023 17:51 MYT
KUALA LUMPUR: Di sebalik cadangan banyak pihak, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan sesi persekolahan bermula jam 8 pagi bukan keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat masa ini.
Menurutnya, terdapat banyak lagi isu lain yang perlu didahulukan, namun beliau memberi jaminan pandangan itu tetap akan diberi perhatian.
"Kita mendengar tapi pastinya kita juga nak dengar pandangan daripada ibu bapa dan semua pemegang taruh pendidikan.
"Pandangan itu kita ambil tapi kita juga harus lihat keseluruhan pandangan. Yang saya pasti, pandangan-pandangan itu kita ambil kira.
"Cuma hari ini tiada ketetapan yang kita buat berkaitan itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Perdana Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan cadangan NUTP supaya KPM menawarkan semula jawatan guru sandaran, Fadhlina memberi jaminan kementerian sedang meneliti isu tersebut sebaik-baiknya.
"Ia sebenarnya berkait rapat dengan satu isu lebih besar iaitu kekurangan guru yang selama ini jadi isu yang melibatkan kepentingan murid.
"Kita tahu, kekurangan guru akan beri kesan yang cukup besar. Dalam komitmen KPM, saya dah maklumkan sebelum ini di Sarawak, 50 peratus penempatan guru akan disiapkan sebelum Mac, sebelum pembukaan sekolah.
"Manakala negeri-negeri lain, kita akan uruskan dengan segera," ujarnya.
Tambah beliau, terdapat beberapa status berkaitan guru sandaran dan KPM akan meneliti semuanya dalam usaha menyelesaikan isu kekurangan guru.