Sesi persekolahan: Pertimbang semula, bimbang pelajar jadi pembawa COVID-19 - Penganalisis

Hasimi Muhamad
Ogos 10, 2021 11:18 MYT
Terdapat kebimbangan bahawa murid dan pelajar berisiko menjadi 'pembawa' kepada jangkitan COVID-19. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mempertimbangkan semula pembukaan sekolah secara bersemuka yang dijadual secara berperingkat pada pada 1 September ini.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad berkata, ini kerana terdapat kebimbangan bahawa murid dan pelajar berisiko menjadi 'pembawa' kepada jangkitan COVID-19.
Jika keadaan itu berlaku, beliau berkata ia bukan sahaja memberi risiko kepada kumpulan tersebut, tetapi juga golongan berisiko tinggi yang tinggal bersama kanak-kanak dan pelajar berkenaan.
"Mungkin mereka mendapat daripada rakan-rakan di sekolah dan akhirnya membawa pulang virus itu ke rumah. Jika di rumah itu mempunyai ahli keluarga yang belum divaksin, ahli keluarga yang lebih tua, atau mempunyai penyakit yang berisiko untuk mendapat jangkitan, maka ini akan menimbulkan lebih banyak masalah kepada pihak keluarga. Tentu ini perkara yang tidak dinginkan berlaku.
"Maka sebagai ibu bapa, mereka bukan sahaja memikirkan tentang isu pendidikan anak-anak, tetapi juga harus memikirkan tentang soal keselamatan dan kesihatan ahli-ahli keluarga yang lain," katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab persoalan mengenai risiko sekiranya KPM bertegas untuk membuka sekolah.
BACA: Semua guru akan selesai divaksin sebelum sesi persekolahan dibuka September ini - Dr Adham
Mengulas lanjut, Anuar berkata keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan penjagaan kesihatan rakyat diberi keutamaan sebelum sesi persekolahan dibuka semula.
Jelasnya, penyelesaian terbaik ketika ini ialah untuk tidak membuka sekolah, sebaliknya meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga sesi persekolahan 2021 berakhir.
"Jadi pada saya dengan tempoh masa yang ada dari bulan 9 sehingga akhir tahun, pelajar hanya ada di sekolah sekitar lapan minggu sahaja lagi.
"Pada saya, sekolah kekal ditutup sehingga hujung tahun dan meneruskan PdPR selama lapan minggu sehingga sesi sekolah 2021 selesai," katanya lagi.
Anuar menambah, selepas lebih setahun pelaksanaan PdPR, para guru juga dilihat telah menambah baik kaedah tersebut dan berinovasi dengan peralatan-peralatan pengajaran.
Bagaimanapun, jika KPM kekal dengan keputusan untuk membuka sekolah secara berperingkat, Anuar berkata kementerian itu perlu menerangkan secara terperinci mengenai kaedan dan prosedur operasi (SOP) yang akan digunakan.
"Misalnya zon mana yang akan dibuka sekolah, apakah proses-proses yang akan dilakukan dan bagaimana SOP yang telah dikemas kini berbanding SOP pada April lalu? Bagaimanakah jaminan ini dapat diberikan kepada ibu bapa supaya anak-anak berada dalam keadaan lebih selamat apabila ke sekolah nanti?," katanya.
Sebelum ini, KPM berkata perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka akan dimaklumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka.
#COVID-19 #Sesi Persekolahan 1 September #KPM buka sekolah #sesi persekolahan 2021 #sekolah ditutup #Kluster Pendidikan #SOP persekolahan #PdPR #Radzi Jidin #berita hari ini #Pendidikan Malaysia