Sesi persekolahan penggal 3 ditangguh seminggu - Radzi Jidin
Astro Awani
Disember 24, 2021 13:55 MYT
Disember 24, 2021 13:55 MYT
KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan bagi penggal 3 2021/2022 yang sepatutnya bermula pada 2 Januari depan ditangguhkan satu minggu susulan bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri ketika ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, keputusan itu diambil kira susulan bencana banjir yang berlaku ketika ini telah memberi kesan kepada murid, ibu bapa, guru-guru termasuk sekolah.
"Mengambil kira situasi banjir semasa di seluruh negara yang melibatkan murid, ibu bapa dan guru-guru sama ada secara langsung atau tidak langsung, juga melibatkan sekolah-sekolah sama ada sebagai Pusat Pemindahan Sementara PPS ataupun sekolah yang terjejas teruk.
"Maka, KPM telah membuat keputusan bahawa sesi persekolahan penggal 3 2021/2022 akan ditangguhkan selama seminggu.
"Sekolah akan bermula pada 9 Januari 2022 bagi negeri kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 10 Januari bagi negeri kumpulan B," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata KPM amat cakna dan prihatin dengan kebajikan guru-guru, murid dan ibu bapa dalam konteks situasi banjir semasa.
"Kita sedar, ini merupakan satu tempoh yang amat sukar bagi semua pihak dan kita faham mereka perlukan masa untuk kembali menyiapkan keperluan sebelum mereka dapat mulakan sesi persekolahan bagi penggal 3 2021/2022," katanya.
Jelasnya, KPM sentiasa komited untuk mengambil berat kebajikan murid, ibu bapa dan guru-guru dalam sebarang keputusan yang dibuat.