Sesi persekolahan kumpulan B di Perak berjalan lancar
Amirrul Rabbani
Januari 10, 2022 12:05 MYT
Januari 10, 2022 12:05 MYT
IPOH: Sesi persekolahan bagi penggal ketiga 2021/2022 bagi kumpulan B seperti di Perak yang bermula hari ini berjalan lancar.
Tinjauan Astro AWANI di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelapang di Ipoh, mendapati murid hadir dalam keadaan ceria selain kesemua mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.
Selain penjarakan fizikal, kesemua mereka diminta untuk berbaris di pintu masuk sekolah sebelum diambil bacaan suhu dan menggunakan cecair pembasmi kuman di tangan.
Sementara itu, bagi suri rumah, Saliza Abdul Aziz, 39, ketika ditemui berkata, dia sentiasa mengingatkan dua anaknya yang bersekolah di situ untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan arahan guru.
Katanya ia susulan kebimbangannya yang masih ada terhadap risiko penularan wabak COVID-19 di sekolah.
"Saya risaukan SOP di sekolah. Setiap hari saya mesti pesan supaya mereka jaga jarak, jangan rapat, jauhkan daripada penyakit inilah.
"Cikgu mesti selalu pesan untuk jaga SOP. Jadi saya pesan dekat anak dengar cakap cikgu, ikut SOP yang ditetapkan," katanya.
Difahamkan seramai 817 murid di SK Jelapang hadir ke sekolah pada hari pertama sesi persekolahan hari ini.
Jumlah itu membabitkan murid Tahun 1, 2 dan 6 yang hadir secara bersemuka tanpa penggiliran serta Tahun 3, 4 dan 5 yang hadir secara penggiliran.
Sebelum ini, sesi penggal ketiga ditetapkan bermula pada 2 Januari 2022 bagi sekolah kumpulan A dan 3 Januari 2022 bagi kumpulan B, namun ditangguhkan selama seminggu susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri sejak akhir Disember tahun lalu.
Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini memaklumkan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 yang bermula semalam dan hari ini membabitkan sesi bersemuka secara penggiliran.
Selain Perak, antara negeri lain yang berada dalam kumpulan B adalah Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.