Sesi persekolahan ditangguh jika banjir berterusan
Bernama
Disember 27, 2012 15:52 MYT
Disember 27, 2012 15:52 MYT
Sesi persekolahan yang bakal bermula pada 1 Jan depan bagi negeri ini hanya akan ditangguhkan jika banjir berterusan, kata Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang.
Beliau berkata sebanyak 34 sekolah di negeri ini telah diwartakan sebagai pusat pemindahan banjir dan jika banjir berterusan, tiada pilihan melainkan memberi laluan kepada mangsa banjir menggunakan tempat tersebut.
"Banjir sekarang berlaku pada musim cuti persekolahan, berbeza pada tahun lepas berlaku ketika sesi persekolahan baru nak buka. (Ketika itu) kita terpaksa tangguh persekolahan selama beberapa hari.
"Kita akan umum kemudian sekolah mana yang akan ditangguh sesi persekolahannya dan akan mengganti sesi tersebut pada hari lain," katanya ketika ditemui selepas mengikuti Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Rendah Kebangsaan Gual Tinggi, Rantau Panjang, pada Khamis.
Setakat Khamis, keadaan banjir semakin pulih dengan paras air di sungai utama mulai surut dan bilangan mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan banjir berkurangan berbanding semalam.