Sesi persekolahan baharu: Ibu bapa buat persiapan saat akhir
Bernama
Mac 9, 2024 22:00 MYT
Mac 9, 2024 22:00 MYT
KOTA BHARU: Kekangan kewangan membuatkan sebilangan ibu bapa melakukan persiapan di saat akhir bagi membeli kelengkapan sekolah anak-anak untuk sesi persekolahan baharu yang bermula esok di Kelantan.
Ibu tunggal Wan Fadhilah Wan Hamat, 34, mengakui dia menggunakan sepenuhnya wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 seorang untuk persiapan empat anaknya yang masih bersekolah.
"Kalau ikutkan peruntukan ini masih tidak cukup kerana harga barangan termasuk pakaian sekolah dan alat tulis meningkat. Jadi, saya beli mana yang penting dahulu.
"Saya juga terpaksa meminjam wang daripada keluarga dan rakan bagi menampung kekurangan memandangkan gaji sebagai pengawal keselamatan hanya RM1,300," katanya ketika ditemui di Program Sumbangan Kelengkapan Sekolah oleh syarikat hartanah Keltrade Properties, di Kok Lanas di sini hari ini.
Wan Fadhilah yang bersyukur kerana turut terpilih menerima sumbangan itu, berkata untuk yuran sekolah empat anaknya Fakhrullah Al-Mukmin Fadzli, 11, Farhad Al-Mukmin, 9, Fayyad Al-Mukmin, Fattah Al-Mukmin, 6, pula dia telah menyimpan sebahagian daripada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan itu.
Bagi Rosliza Abdul Rashid, 47, pula dia tidak lena tidur memikirkan persiapan untuk kelengkapan sekolah tiga anaknya yang masih belum mencukupi.
"Dua anak di sekolah rendah dan seorang di sekolah menengah memang memberi cabaran kewangan kepada keluarga kami memandangkan saya hanya tukang sapu sekolah, manakala suami berkerja sebagai buruh.
"Sebelum ini saya sudah beli sedikit demi sedikit pakaian dan alat tulis untuk anak-anak supaya tidak terlalu terbeban," kata ibu kepada tujuh anak itu yang berasa lega apabila ada pihak yang sudi tampil menyumbang kelengkapan sekolah.
Sementara itu Pengurus Keltrade Properties Cawangan Kota Bharu Fakhrurrazi Mustafa berkata program tanggung jawab sosial korporat (CSR) yang julung kali dibuat itu bagi membantu pelajar asnaf yang dipilih menerusi senarai disediakan guru Sekolah Kebangsaan Kok Lanas.
Menurutnya sebelum ini pihaknya melaksanakan program CSR membantu asnaf setiap kali Ramadan dan mangsa banjir di negeri ini.
--BERNAMA