Sesi persekolahan 2015 bagi sekolah terlibat banjir ditunda seminggu lagi
Media Statement
Januari 9, 2015 19:44 MYT
Januari 9, 2015 19:44 MYT
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa sehingga 9 Januari 2015, terdapat sekolah-sekolah di negeri Perak, Pahang dan Kelantan yang masih terlibat dengan banjir.
Sekolah-sekolah berkenaan ada yang dinaiki atau ditenggelami air, digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara atau mengalami kerosakan teruk termasuk keadaan berlumpur dan kotor serta masih tidak selamat untuk dijadikan tempat belajar bagi murid-murid.
Sehubungan itu, setelah mendapat persetujuan daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, KPM dengan ini memaklumkan bahawa sejumlah 41 buah sekolah iaitu 4 buah di negeri Kelantan, 18 buah di negeri Pahang dan 19 buah di negeri Perak akan ditunda sesi permulaan persekolahan 2015 selama seminggu lagi.
Dengan penundaan ini, maka tarikh baru permulaan sesi persekolahan di sekolah-sekolah tersebut (seperti di LAMPIRAN 1) adalah seperti berikut:
a. Bagi sekolah-sekolah terlibat di negeri Kelantan, tarikh permulaan sesi persekolahan adalah pada 18 Januari 2015 (Ahad).
b. Manakala bagi sekolah-sekolah terlibat di negeri Perak dan Pahang, tarikh permulaan sesi persekolahan adalah pada 19 Januari 2015 (Isnin).
Penundaan ini akan melibatkan sejumlah 5 hari persekolahan pada 11 hingga 15 Januari 2015 (Kelantan) dan pada 12 hingga 16 Januari 2015 (Perak dan Pahang).
KPM juga ingin memaklumkan bahawa jumlah 5 hari tersebut adalah merupakan jumlah hari persekolahan yang perlu diganti oleh sekolah berkenaan.
Ia juga adalah selaras dengan pemakluman oleh Menteri Pendidikan pada 8 Januari 2015 bahawa sekolah-sekolah tersebut masih memerlukan masa untuk pembersihan dan pemulihan serta setelah mengambil kira faktor kemanusiaan terhadap mangsa-mangsa banjir yang masih berada di sekolah-sekolah yang menjadi Pusat Pemindahan Sementara.