Sesi pengundian Belanjawan 2021 kekal pada Khamis

Astro Awani
November 25, 2020 09:48 MYT
Sumber memberitahu Astro AWANI bahawa hari pengundian Belanjawan 2021 kekal pada hari Khamis, 26 November. - Foto Astro AWANI/ Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Menjelang sesi pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) yang dijadualkan esok, khabar angin mengenai kemungkinan ia ditangguhkan ke Isnin semakin kuat bertebaran.
Bagaimanapun, pemeriksaan Astro AWANI dengan beberapa sumber yang boleh dipercayai, mendapati proses undian berkenaan tetap akan berlangsung seperti dijadualkan.
"Proses undian akan berlangsung esok," kata seorang sumber yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sebelum ini, sumber yang berpengetahuan mengenai perangkaan belanjawan itu berkata sesi pengundian akan ditunda.
“Ya, ia ditangguhkan ke Isnin (30 November),” katanya ringkas ketika diminta pengesahan.
Menurut seorang sumber lagi yang dihubungi oleh Astro AWANI, penangguhan itu dikatakan hanya satu kemungkinan.
“Kemungkinan besar undian tidak dapat dijalankan esok (Khamis) kerana kerajaan kurang sokongan yang diperlukan.
“Bagaimanapun, saya tidak mendengar sebarang pengesahan mengenai penangguhan ini, tapi saya tahu penggulungan beberapa menteri yang sepatutnya berlangsung esok telah ditangguhkan,” tambahnya.
Sumber yang sama turut mendakwa akan ada sebilangan ahli Parlimen, termasuk daripada pihak kerajaan, yang tidak akan menghadiri sesi pengundian RUU tersebut.
Sementara itu, seorang lagi sumber dalam kerajaan tidak begitu yakin sesi tersebut akan ditangguhkan.
“Kemungkinan (penangguhan) itu ada. Tetapi saya tak percaya kerajaan akan mengambil risiko untuk menangguhkan lagi.
“Dalam tiga hari (sehingga Isnin), hati (ahli Parlimen) boleh berubah,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah secara terbuka memaklumkan beliau tidak akan menyertai perbahasan kerana keabsahan kerajaan belum lagi ditentukan secara rasmi.
Pada Selasa, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar enggan mengulas ketika ditanya sama ada kesemua 38 ahli parlimen UMNO akan mengundi untuk menyokong Belanjawan 2021.
“Kerajaan Perikatan Nasional adalah gabungan ahli-ahli parlimen yang tidak mewakili parti.
“Jadi hari ini bila kata satu-satu parti menguasai kerajaan, ia tidak tepat. Maka bila parti tidak menguasai kerajaan, maka ahli-ahli parlimennya mempunyai pandangan-pandangan sendiri," katanya.
Noh berkata beliau mungkin akan mengundi untuk menyokong.
“Saya sendiri, insya-Allah akan sokong. Kalau kita dengar nanti jawapan yang diberikan Menteri Kewangan (kepada perbahasan ahli Parlimen) itu meyakinkan kita, dan boleh memberikan kebaikan kepada rakyat, kenapa tidak kita sokong?
“Tapi kalau kita dengar jawapan-jawapan menteri tidak seperti apa yang rakyat nak, kalau kita sokong nanti, rakyat marah kita pula. Jadi, tunggu dan lihat,” katanya.
Kira-kira jam 5.30 petang tadi, Ahli Parlimen Pontian dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengirimkan ciapan di akaun Twitternya yang menunjukkan beberapa orang ahli Parlimen UMNO berbincang bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai tuntutan perubahan Belanjawan 2021 yang dikemukakan parti itu sebelum ini.

Pertemuan dgn Menteri @tzafrul_aziz di #DewanRakyat 25/11/20 Bersama Presiden #UMNO/Pengerusi #BN @DrZahidHamidi, MP #Arau, MP #PasirSalak & saya#Moratorium bayaran pinjaman & #KWSP akaun 1 tentu dibincang. Kita tunggu pengumuman beliau Khamis 26/11/20. Moga ada berita baik pic.twitter.com/0WOIie0eSp

— Ahmad b Maslan (@ahmadmaslan) November 25, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Astro AWANI sedang mendapatkan pengesahan lanjut berhubung perkara ini.
#Belanjawan 2021 #Tengku Zafrul Aziz #Perikatan Nasional #Dewan Rakyat #tangguh #undi belanjawan #Bajet 2021 #undi bajet #Ahmad Maslan #UMNO #PPBM #DAP #PKR #Amanah #Pakatan Harapan