Sesi Pemukiman Wisma Putra 2023: Bincang hala tuju dasar luar negeri
Astro Awani
Mac 6, 2023 08:51 MYT
Mac 6, 2023 08:51 MYT
KUALA LUMPUR: Sesi Pemukiman Wisma Putra 2023 yang berlangsung dua hari bermula hari ini bermatlamat memperkukuh keakraban dan membincangkan hala tuju dasar luar negeri Malaysia.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, ia menghimpunkan semua ketua jabatan dan setiausaha bahagian peringkat Kementerian Luar Negeri (KLN).
Malah, Ahli-ahli Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri (CCFP) turut dijemput untuk menghadiri sesi pemukiman yang bertemakan ‘Diplomasi dalam Dunia Global dari Lensa Malaysia MADANI’.
"Berkesinambungan daripada perbincangan sewaktu Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Ke-9 (HOMC9) pada 6 dan 7 September 2022, Sesi Pemukiman ini merupakan satu wadah bagi warga Wisma Putra untuk menilai aspirasi, dasar dan kepentingan strategik kerajaan demi menjaga kepentingan negara," memetik kenyataan tersebut.
Antara topik yang akan dibincangkan adalah seperti berikut:
i. Hala Tuju Dasar Luar Negeri Malaysia;
ii. Hala Tuju Wisma Putra;
iii. Diplomasi Ekonomi yang Proaktif sebagai Enjin Pertumbuhan;
iv. Memenuhi Harapan Malaysia dalam Bantuan Bencana Global;
v. Perkongsian Pengalaman dan Aspirasi oleh Mantan Duta-Duta Besar Malaysia;
vi. Meningkatkan Potensi Kuasa Lunak Malaysia; dan
vii. Malaysia MADANI: Membentuk Naratif Antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dijadual menyempurnakan Sesi Rumusan Pemukiman tersebut dengan berkongsi idea, rangkuman dan hasil dapatan mengenai isu-isu berkepentingan yang dibincangkan sepanjang sesi dua hari tersebut.
"Hasil perbincangan sewaktu Sesi Pemukiman tersebut dijangka akan membantu Kementerian dan Kerajaan dalam penggubalan dan pelaksanaan strategi-strategi yang akan membuka peluang lebih besar bagi meletakkan Malaysia dalam tumpuan global secara strategik," memetik kenyataan itu.