Sesi pembukaan semula persekolahan akan diumum dua minggu sebelum tarikh - KPM

Fareez Azman
April 15, 2020 17:33 MYT
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Md Jidin memberi jaminan tarikh pembukaan semula sekolah akan diumumkan dua minggu sebelum perlaksanaan. Gambar: Astro AWANI
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan bahawa tarikh pembukaan semula sekolah akan diumumkan dua minggu sebelum dilaksanakan.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, pihaknya sedar keresahan ibu bapa berkenaan pembukaan sesi persekolahan terutama apabila persediaan perlu dibuat.
Ujarnya, pembukaan semula sesi persekolahan itu akan melibatkan lima juta murid di seluruh negara.
"Secara umumnya dapatan dari sesi perbincangan ini menunjukkan jelas bahawa aspek kesihatan dan keselamatan murid mesti diutamakan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memahami ibu-bapa bimbang jika mereka tidak dapat sewajarnya membuat persediaan jika sekolah dibuat secara tiba-tiba.
"KPM akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan tarikh sesuai pembukaan sekolah yang sesuai, KPM akan umumkan tarikh pembukaan sekolah dua minggu sebelum sekolah dibuka," katanya.
Ujarnya, ketika ini pembukaan sekolah hanya melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan awam termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.
Dalam sidang media yang sama, Radzi Jidin menjelaskan kementeriannya turut akan memperkenalkan garis panduan pembukaan sekolah pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Apabila sekolah dibuka semula, itu antara perkara yang kita teliti dan akan berikan garis panduan sebelum dibuka.
"Jika sebelum ini satu kelas ada 35 orang pelajar. Apabila kita adakan penjarakan sosial, 35 murid itu tidak muat dalam satu kelas. Jadi apa KPM perlu sama ada cari dewan lebih besar atau menggunakan dua kelas dan sebagainya.
"Apa yang penting apabila dibuka sekolah kelak, garis panduan kita sediakan bersama KKM dan setiap sekolah mesti patuhi. Pematuhan itu adalah wajib dan peranan ini akan dimainkan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memastikan setiap sekolah patuhi garis panduan dan penjarakan sosial.
"Faktor kebersihan dan laluan sebagai contoh, kalau nak datang ke sekolah ada dua laluan tetapi sekarang kita sudah (nasihatkan) supaya laluan itu sehala sahaja. Kita akan pastikan semua garis panduan itu akan dipatuhi," kata Radzi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Putrajaya pada Rabu.
#Dr Radzi Md Jidin #Kementerian Kesihatan #Kementerian Pendidikan #KKM #KPM #murid #Putrajaya #sekolah #Sijil Pelajaran Malaysia #SPM #STAM #STPM #SVM
;