Sesi Parlimen hibrid usaha 'separuh masak', perlu persidangan bersemuka - Shafie Apdal

Astro Awani
Jun 5, 2021 14:10 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat perlu mengadakan sidang Parlimen secara bersemuka bagi membincangkan isu berkaitan COVID-19 di negara ini berbanding persidangan hibrid.
Tegas Presiden Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, langkah itu penting bagi badan perundangan bersemuka bagi membincang penyelesaian terbaik menangani COVID-19 di Malaysia yang dilihat semakin memburuk walaupun negara sudah melaksanakan darurat.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berpandangan, persidangan Parlimen secara hibrid seolah-olah usaha 'separuh masak'.
"Sidang Parlimen ditangguhkan pada Januari tahun ini selepas pengisytiharan darurat untuk menangani wabak itu. Namun, jumlah kes jangkitan masih meningkat sementara kadar vaksinasi masih rendah.
"Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini menjadi lebih buruk dan sekarang adalah masa untuk persidangan parlimen konvensional. Ini adalah asas dan perlembagaan untuk mengadakan mesyuarat parlimen.
BACA: Kerajaan kaji pelaksanaan sidang Parlimen hibrid - Takiyuddin
"Ini (COVID-19) adalah masalah serius dan mesti ditangani dengan proaktif," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, persidangan bersemuka itu hanya perlu dihadiri oleh 220 ahli parlimen yang kebanyakannya sudah menerima vaksin dan para pegawai tidak perlu hadir.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisma ke arah pelaksanaan Sidang Dewan Parlimen secara hibrid yang melibatkan Persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Ini bagi memastikan Parlimen dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19 serta program pemulihan masih berjalan di semua peringkat.
Pada 12 Jan lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Darurat sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung gelaja wabak COVID-19.
[TERKINI] Kerajaan kaji sidang Parlimen secara hibrid
#Shafie Apdal #Sidang Parlimen #persidangan hibrid #COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #parlimen bersidang #darurat
;