Sesi libat urus muktamadkan RUU Akta Sewaan Kediaman akan diteruskan

Bernama
Julai 29, 2024 22:30 MYT
KPKT memaklumkan RUU RTA yang sedang digubal itu bersifat neutral dan sebarang aktiviti sewaan kediaman yang dilaksanakan adalah tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak yang terlibat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sesi libat urus bagi memuktamadkan draf penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Sewaan Kediaman (RTA) khususnya dalam aspek pelaksanaan dan pentadbiran akta akan diteruskan bersama kerajaan negeri.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan, sebarang maklum balas dan pandangan yang diterima hasil libat urus itu akan diambil kira dalam penambahbaikan draf RUU berkenaan agar kepentingan semua pihak terpelihara dan diberikan perhatian sewajarnya.
"Melalui penggubalan RUU RTA ini kelak diharapkan dapat memudah cara industri sewaan kediaman agar lebih kompetitif, dengan tadbir urus yang lebih baik tanpa menjejaskan hak dan kepentingan pihak-pihak yang terlibat dalam aktiviti sewaan kediaman ini," menurut KPKT dalam jawapan lisan di Dewan Negara yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.
Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Seri S. Vell Paari yang ingin tahu inisiatif KPKT untuk membendung isu diskriminasi kaum dalam isu menyewa dan penjualan rumah.
KPKT memaklumkan, RUU RTA yang sedang digubal itu bersifat neutral dan sebarang aktiviti sewaan kediaman yang dilaksanakan adalah tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak yang terlibat.
Selain itu, RUU berkenaan menjelaskan, hak dan kewajipan pemilik kediaman dan penyewa serta menyediakan mekanisme penyelesaian sekiranya wujud sebarang pertikaian dalam aktiviti sewaan kediaman kelak.
"Penggubalan RUU RTA ini dilihat mampu merancakkan sektor sewaan dengan mengimbangi hak-hak dan kewajipan kediaman dan penyewa tanpa melibatkan elemen kawalan terhadap kadar sewaan, selain menyediakan penyelesaian pertikaian yang murah dan efisien kepada pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian," menurut KPKT.
Pada Mei 2023, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, cadangan penggubalan RUU RTA telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Jun 2021 dan telah mendapat kelulusan prinsip untuk penggubalan. - BERNAMA
#sesi libat urus #RUU Akta Sewaan Kediaman #KPKT #muktamadkan draf penggubalan