Sesi interaktif INSKEN platform usahawan bersama MEDAC - Wan Junaidi

Astro Awani
Mac 23, 2021 17:08 MYT
Wan Junaidi bersama panelis dan peserta program Sesi Interaktif Peserta dan Alumni INSKEN yang diadakan di Melaka pada 21 Mac. - Gambar MEDAC
KUALA LUMPUR: Usahawan-usahawan kecil harus sentiasa menuntut ilmu keusahawanan tidak kira dalam apa jua bentuk program latihan mahupun bimbingan agar sentiasa bersedia untuk memajukan perniagaan serta bersaing dalam pasaran yang semakin mencabar dan kompetetif.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, usahawan disarankan untuk beralih ke arah ekonomi digital seiring perubahan era globalisasi.
Jelasnya, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) sebagai penyelaras program latihan dan bimbingan keusahawanan di bawah kementeriannya telah memperbanyakkan program latihan berasaskan topik digital sebagai persediaan untuk membantu usahawan melaksanakan transformasi perniagaan dari konvensional kepada digital.
"Saya faham, untuk mendigitalkan bisnes bukan mudah lebih-lebih lagi untuk usahawan usahawan kecil tetapi ia boleh dilaksanakan dan INSKEN sedia untuk membantu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA: 55 usahawan berjaya tingkat hasil jualan bawah program INSKEN - Wan Junaidi
BACA: Program INSKEN berjaya lonjak hasil 55 usahawan kepada RM1.56 juta
Dalam pada itu kata Wan Junaidi, selain daripada latihan dan bimbingan, INSKEN turut menyediakan platform untuk usahawan berinteraksi secara langsung bersama usahawan.
"Sesi ini bertujuan untuk memberi peluang kepada usahawan yang terdiri daripada peserta dan alumni program anjuran INSKEN berkongsi pendapat, cadangan serta maklum balas mengenai isu berkaitan keusahawanan.
"Sesi interaktif ini telah diadakan sebanyak dua kali iaitu pada 19 Mac 2021 di Johor dan 21 Mac 2021 di negeri Melaka. Antara usahawan yang terlibat di negeri Johor adalah 56 peserta dari program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) Bakeri; program bimbingan empat bulan berasaskan industri bakeri.
"Selain itu ia turut disertai alumni program Online Onboarding Coaching Programme (E-Board); program bimbingan tiga bulan bertujuan memperkukuhkan kemampuan dan kapasiti usahawan mikro dan PKS serta koperasi dalam penggunaan platform e-dagang melalui bimbingan (handhold) yang intensif secara dalam talian) manakala sesi interaktif di Melaka pula dihadiri oleh 63 peserta dan alumni program IBBC Café & Restaurant," ujarnya.
Turut menjadi panel ketika sesi itu adalah Timbalan Menteri MEDAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin yang juga sebagai moderator.
#PKS #Medac #Bumiputera #ekonomi #usahawan #INSKEN #program latihan
;