Sesetengah pihak sifatkan aksi remaja berbasikal 'sengaja menempah maut'
Madiha Abdullah
Februari 19, 2017 11:30 MYT
Februari 19, 2017 11:30 MYT
IBARAT kata pepatah, sudah terhantuk, baru nak terngadah.
Kejadian kemalangan yang meragut lapan nyawa remaja di di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada awal pagi Sabtu, disifatkan sebagai sesuatu yang dibimbangi boleh berlaku pada bila-bila masa oleh penduduk tempatan.
Biarpun curahan simpati buat mangsa dan keluarga tidak putus-putus diterima, namun dalam masa yang sama, 'kedegilan' kumpulan pengayuh basikal itu, yang kebanyakannya masih di bawah umur, menimbulkan rasa yang bercampur-baur apabila berita kemalangan itu dilaporkan media.
Bagi penduduk di sekitar kawasan berkenaan, pengalaman terserempak dengan kumpulan itu bukan perkara asing.
BUkan sahaja berlumba, mereka adakalanya berhenti di bahu jalan beramai-ramai bersama basikal masing-masing, malah adakalanya berani berkumpul di laluan paling kanan jalan selepas tengah malam kerana beranggapan tidak ada kenderaan yang menggunakannya.
Dalam banyak situasi, teguran dan bunyi hon oleh pemandu dan pengguna jalan raya yang lain, bagai mencurah air ke daun keladi, malah ada pula ahli kumpulan itu yang mengejek semula dan berlagak 'hebat' kepada pemandu kenderaan.
Seorang pengguna Facebook, Felicia Ng, pernah memuat naik satu status mempersoalkan kewajaran aktiviti tersebut dan mengapa anak-anak dalam usia begitu dibiarkan berlumba basikal pada waktu yang tidak sesuai.
Orang ramai dan netizen berkongsi pengalaman dan rasa jengkel mereka itu ke laman sosial.
Biarpun agak kasar catatan mereka, namun hakikatnya kata mereka, insiden terkini itu seharusnya menjadi pengajaran kepada anak-anak muda itu agar menghormati pengguna jalan raya dan tidak memandang enteng nasihat golongan dewasa.
Ibu bapa juga pula diminta agar lebih bertegas dan mencari jalan untuk memastikan anak-anak tidak terbabit dalam aktiviti yang tidak berfaedah, yang bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri tetapi juga orang lain.
Sabtu lalu, lapan remaja lelaki berbasikal maut apabila dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, manakala lapan lagi cedera.