SESB rugi RM40 juta dalam kebakaran stor kabel

Abdul Hafiz Mustadi
April 4, 2024 06:30 MYT
Sebuah stor simpanan SESB yang menempatkan sejumlah besar gulungan kabel musnah akibat kebakaran dalam kejadian di Inanam semalam. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berdepan kerugian RM40 juta selepas stor simpanan syarikat itu yang menempatkan sejumlah besar gulungan kabel musnah akibat kebakaran di Inanam semalam.
Anggaran kerugian tersebut disahkan oleh Pengerusi SESB, Datuk Seri Madius Tangau sewaktu meninjau lokasi kebakaran bersama Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaakob Jaafar.
Madius ketika ditemui berkata, kabel yang ditempatkan di stor terbuka itu adalah untuk diagihkan ke seluruh negeri, kebanyakannya digunakan membuat penyambungan bekalan elektrik ke rumah pengguna.
"Luas kawasan yang terbakar lebih kurang tiga ekar (1.2 hektar), tetapi ada juga kabel yang dapat diselamatkan dengan anggaran awal kerugian sebanyak RM40 juta.
"Setakat ini, punca kebakaran belum dikenal pasti. Kabel yang terbakar ada yang baru sampai pagi tadi sebelum diagihkan ke seluruh Sabah," katanya.
Kebakaran yang berlarutan sejak tengah hari itu membabitkan kawasan seluas 1.2 hektar yang menghimpunkan gulungan kabel milik SESB.
Punca kebakaran setakat ini belum dikenal pasti selain pihak SESB terpaksa membuat tempahan semula kabel, khususnya untuk penyambungan bekalan elektrik ke rumah-rumah.
Operasi memadam kebakaran turut digerakkan oleh 60 orang anggota bomba daripada Kota Kinabalu, Lintas dan Penampang.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian tersebut.
#kebakaran #SESB #kabel #bekalan elektrik
;