Sertai PKR: Pandikar Amin Mulia terus berteka-teki

Ruzaini Zulkepli
September 10, 2019 15:07 MYT
Pandikar Amin Mulia tidak mengiya atau menafikan akan menyertai PKR. - Gambar Astro AWANI
Bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia masih berteka-teki dengan statusnya yang dikhabarkan bakal menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tiada sebarang penafian atau pengesahan berhubung spekulasi itu yang dibuat oleh Pandikar ketika menjawab soalan wartawan di sini pada Selasa.
Sebaliknya, beliau menegaskan, dalam persekitaran politik negara ketika ini begitu dinamik, beliau secara peribadi sukar untuk meramal apa akan jadi pada karier politiknya di masa depan.
"Saya tidak boleh tegaskan bahawa saya kata in future (pada masa depan) saya tidak boleh buat ini (bertukar parti politik) kerana politik itu dinamik.
"Hari ini kita mempunyai pendirian lain mengambil kira keadaan politik semasa, esok pula kita mempunyai pendirian yang lain mengambil kira keadaan politik semasa," ujar Pandikar.
Panidikar berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan wartawan mengenai spekulasi yang mendakwa beliau akan menyertai PKR
Selain Pandikar, seorang lagi tokoh politik Sabah yang juga bekas pemimpin Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Salleh Said Keruak turut disebut-sebut akan menyertai PKR.
Pandikar sebelum itu mengadakan sidang media bagi mengumumkan majlis anjuran Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (USBO) yang akan diadakan pada 17 September ini.
Menurut Pandikar, acara yang diadakan khusus untuk mempringati perjuangan pemimpin-pemimpin USBO itu akan dihadiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sekalipun Anwar akan hadir, namun Pandikar menegaskan, itu bukan acara politik, bahkan tidak ada sesiap pun yang akan menyerahkan borang keahlian PKR.
"Majlis USBO ini ialah satu majlis tidak ada kena-mengena majlis politik, tidak ada orang ramai ataupun individu ataupun kumpulan yang akan menyerahkan borang PKR untuk minta sebagai ahli.
"Majlis itu cuma satu majlis yang kami panggil memperingati perjuangan pemimpin-pemimpin USBO dahulu," kata Pandikar.
Pandikar yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO Sabah serta Salleh yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO merupakan antara pemimpin UMNO negeri yang meninggalkan parti itu bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua bahagian di Sabah pada 12 Disember tahun lalu.
Salleh bagaimanapun, belum menyertai mana-mana parti politik baharu sementara manakala Pandikar pula menyertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), sebuah parti tempatan yang dihidupkan semula pada Mei lalu dan dilantik sebagai penasihat strategik parti itu.
Pandikar bagaimanapun, meletakkan jawatan di USNO pada bulan lalu.
#bertukar parti #Pandikar Amin Mulia #PKR #Salleh Said Keruak
;