'Serpihan tulang bukan milik Acap'
Abd Razak Mohd Ali
Jun 14, 2019 12:35 MYT
Jun 14, 2019 12:35 MYT
Serpihan tulang manusia yang ditemui di Gua Kandu, Gopeng, bukan milik peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan atau Acap, yang hilang sejak 23 Mac lalu.
Ketua Polis Negeri Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, serpihan tulang yang ditemui pada 20 April lalu telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk ujian DNA.
“Hasil laporan DNA yang diterima oleh pihak polis daripada Jabatan Kimia mendapati DNA tulang yang dijumpai tidak sepadan dengan DNA ibu kandung Acap, Siti Maznah Khamis dan abang kandungnya, Mohammad Azlan.
“DNA tulang tersebut juga tidak terdapat di dalam data Jabatan Kimia Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Untuk rekod, Acap hilang ketika menyertai larian GUT 2019 pada 23 Mac lalu sebelum operasi pencarian dilancarkan, namun tidak menemui sebarang petunjuk lokasi mangsa berada.
Menurut Razarudin, melalui kaedah post mortem dan ujian DNA telah mengesahkan bahawa serpihan tulang yang dijumpai itu bukan milik Mohammad Ashraf dan pemilik tulang sebenar tidak dapat dikenalpasti setelah semakan dibuat melalui data DNA Jabatan Kimia.
“Hasil analisa sampel tanah di lokasi penemuan menunjukkan is warna tanah pada serpihan tulang dan warna tanah di lokasi penemuan adalah tidak sama.
“Ini mengesahkan serpihan tulang yang dijumpai tersebut adalah bukan berasal dari lokasi penemuan,” ujarnya.
#DNA
#Gopeng
#Gopeng Ultra Trail
#gut
#hilang
#Malaysia
#mangsa
#operasi
#polis
#Razarudin Husain
#tulang