Serpihan pesawat di Thailand bukan dari MH370 - Liow Tiong Lai

Astro Awani
Januari 26, 2016 07:04 MYT
Serpihan bangkai yang dipercayai pesawat itu ditemui di pantai wilayah Nakhon Si Thammarat pada jam 10 pagi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia), pada Ahad. - Gambar Fail
Kementerian Pengangkutan Malaysia mengesahkan serpihan yang disyaki pesawat yang ditemui di pantai Nakhon Si Thammarat, ke selatan Thailand, Ahad lalu bukan milik pesawat MH370.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata pasukan pakar dari Malaysia mengesahkan nombor bahagian pemasangan, nombor ikatan wayar dan nombor bahagian bolt tidak sepadan dengan pesawat jenis boeing 777.
Tambahnya, terdapat beberapa nombor yang dikesan di beberapa bahagian lain serpihan itu juga tidak tersenarai dalam manual katalog ilustrasi bahagian MAS B-777.
Pasukan pakar membabitkan tiga agensi termasuk kementeriannya, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan bahawa serpihan itu bukan milik B777 9M-MRO pesawat MH370.
BACA: Serpihan logam adalah dari roket, bukan pesawat, kata firma Jepun
BACA: Tidak mungkin serpihan di Thailand milik MH370 - Pakar penerbangan
BACA: Bot sonar pencari MH370 karam berlanggar gunung berapi dasar laut
Kementerian Pengangkutan turut melahirkan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan Thailand dan pihak berkuasa penerbangan awam Thailand kerana tindakan pantas serta sokongan mereka dalam proses mengenalpasti itu.
Pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.
Pada 29 Januari tahun lepas, kerajaan secara rasmi mengisytiharkan pesawat MH370 kemalangan dan kesemua penumpang dan anak kapal dianggap telah terkorban.
#Kementerian Pengangkutan Malaysia #Liow Tiong Lai #MAS B-777 #MH370 #Thailand #Thammarat