Serpihan kedua pesawat ditemui di Pulau Reunion mungkin milik MH370 - Aziz Kaprawi
T K Letchumy Tamboo
Mac 7, 2016 17:21 MYT
Mac 7, 2016 17:21 MYT
Serpihan pesawat kedua yang ditemui di Pulau Reunion, sebuah pulau kecil milik Perancis di timur Lautan Hindi pada Khamis lalu, mungkin adalah dari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ab Aziz Kaprawi berkata ia mengikut pengiraan hanyutan serpihan.
“Kita boleh menjangkakan ini kerana dengan pengiraan hanyutan semua serpihan, ia sepatutnya berada di sekitar kawasan itu.
“Mana-mana serpihan yang ditemui di kawasan itu mungkin, adalah daripada MH370 secara tentatif ... ia akan disahkan selepas ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Laporan interim mengenai kejadian itu akan dikeluarkan esok, dua tahun selepas pesawat itu diisytiharkan hilang.
Khamis lepas Johnny Begue, individu sama yang menjumpai 'flaperon' yang disahkan dari pesawat MH370 pada Julai tahun lalu menjumpai serpihan kedua di Pulau Reunion.
Menurut Begue, dia sedang berjoging di pesisiran pantai apabila ternampak sebuah objek kecil berukuran 40 dan 20 sentimeter.
Katanya, objek berkenaan mempunyai tanda berwarna biru di bahagian permukaan serta berwarna kelabu di bahagian bawahnya.
Begue menjumpai objek berkenaan beberapa hari selepas penemuan satu lagi serpihan dipercayai daripada pesawat MH370 di Mozambique oleh seorang lelaki warga Amerika Syarikat, Blaine Gibson.
Gibson dilapor menjumpai objek itu ketika berjalan di kawasan pantai berdekatan Vilankulo, Pulau Benguerra (sebahagian daripada kepulauan Bazaruto).
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapal apabila ia hilang daripada skri radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.
Pesawat itu masih belum ditemui walaupun operasi pencarian yang meluas dan menyeluruh sedang dijalankan di selatan Lautan Hindi.
#Ab Aziz Kaprawi
#sebuah pulau kecil milik Perancis di timur Lautan Hindi mungkin milik MH370
#Serpihan pesawat kedua yang ditemui di Pulau Reunion