Serpihan kabin berkemungkinan milik MH370 ditemui di Mauritius
Marlina Manaf
April 3, 2016 09:34 MYT
April 3, 2016 09:34 MYT
Serpihan pesawat dipercayai milik MH370 yang hilang lebih dua tahun lalu di Lautan Hindi, ditemui di sebuah pulau di Mauritius, Timur Afrika.
Agensi berita CNN dalam laporannya memaklumkan, serpihan pesawat itu ditemui oleh sepasang kekasih, Jean Dominique dan Suzy Vitry ketika bersiar-siar di pantai Pulau Rodrigues.
Pasangan berkenaan yang berasal dari Pulau Reunion, lokasi penemuan flaperon MH370 Julai tahun lalu, kemudian menyerahkan serpihan tersebut kepada pengurusan Hotel Mourok Ebony untuk disimpan, sebelum memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa.
Dan O'Malley, jurucakap Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) memberitahu pihaknya sudah dimaklumkan mengenai penemuan itu dan menjangkakan siasatan seterusnya akan diketuai pihak berkuasa Malaysia.
Sementara itu, pakar bebas MH370 Don Thompson dalam Twitternya memaklumkan serpihan pesawat yang ditemui menyerupai dinding kabin kelas perniagaan dari pesawat jenis MAS Boeing 777.
Thompson bagaimanapun menegaskan kemasan hiasan pada bahagian tersebut, tidak terhad kepada seksyen kabin kelas perniagaan daripada B777 dan berkemungkinan juga boleh menyerupai dinding dari kelas ekonomi.
Serpihan itu sekiranya terbukti dari pesawat MH370, adalah penemuan signifikan kerana ia adalah bahagian dalaman pertama ditemui, dan membolehkan lebih banyak keterangan diperoleh bagaimana pesawat itu berakhir di lautan.
Sehingga kini, sebanyak enam serpihan pesawat ditemukan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Pesawat itu kemudiannya diumumkan berakhir di selatan Lautan Hindi dengan usaha pencarian di kawasan seluas 120,000 kolimeter persegi dijangka selesai Jun ini.
Penemuan terbaru melibatkan dua serpihan yang dijumpai di Mozambique Mac lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataannya memaklumkan ia berkemungkinan besar milik pesawat Malaysia Airlines MH370 kerana kedua-dua bahagian itu konsisten dengan komponen pesawat Boeing 777.
Pengesahan dibuat hasil analisis teknikal pasukan Geosains Australia dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) selepas pemeriksaan ke atas serpihan itu.