Serpihan helikopter yang hilang di Sarawak dijumpai - Najib
Bernama
Mei 6, 2016 12:51 MYT
Mei 6, 2016 12:51 MYT
Serpihan helikopter yang hilang di Sarawak semalam dijumpai bersebelahan Sungai Batang Lupar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Serpihan itu termasuk sebuah 'floatation device,' sebuah kerusi, sebahagian daripada pintu, sebahagian rotor blade dan sebahagian dinding pesawat, Najib berkata pada sidang media pagi ini.
Perdana Menteri mengesahkan helikopter itu membawa enam orang, antaranya Timbalan Menteri Perusahan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon, suaminya Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Muhammad Khairil Anuar Wan Ahmad.
Turut berada dalam helikopter itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Ahmad Sobri Harun, dan juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas.
Helikopter itu berlepas dari Betong, kira-kira 250km dari sini pada 4.12 petang dan sepatutnya tiba di Kuching sekitar 5 petang.
"Setakat ini kita tidak boleh buat sebarang kesimpulan yang kita sudah kehilangan mereka," katanya semasa ditanya sekiranya ini bererti semua mereka sudah tiada lagi.
Perdana Menteri berkata semua aset yang berkaitan sudah diarah melancarkan operasi dan menyelamat "semaksimum mungkin" di sekitar kawasan berkenaan.
Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan bahawa kawasan serpihan itu ditemui amat luas, yang mungkin akan menyukarkan operasi mencari dilancarkan.
"Namun segala usaha dan aset yang dapat kita guna pakai dalam operasi ini kita akan mengerahkan semaksimum mungkin," katanya.
Beliau yang menganggap kejadian itu sebagai satu tragedi kemalangan yang tidak diduga, seterusnya mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak berkaitan yang melancarkan gerakan mencari dan menyelamat dengan cukup pantas.