Serpihan ditemui di Afrika Selatan & Pulau Rodrigues hampir pasti milik MH370

Astro Awani
Mei 12, 2016 09:27 MYT
TING LAI: Kerajaan Malaysia berterima kasih kepada Mozambique, Mauritius Afrika Selatan bagi bantuan yang diberikan berhubung siasatan.
Dua serpihan pesawat yang ditemui masing-masing di Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues, Kepulauan Mauritius, disahkan hampir pasti milik penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang hilang 8 Mac 2014.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan media pagi ini.
Jelas Tiong Lai hasil itu dirumuskan selepas Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 Malaysia, selesai menjalankan penyiasatan ke atas dua serpihan pesawat berkenaan.
"Pemeriksaan ke atas dua serpihan pesawat yang ditemui di Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues, di kepulauan Mauritius, yang merupakan sekeping bahagian enjin dengan logo Rolls-Royce, serta panel dinding kabin dalam, dilakukan pasukan pakar antarabangsa di Australia.
"Selepas pemeriksaan keseluruhan, ICAO Annex Malaysia merumuskan kedua-dua serpihan adalah konsisten dengan panel yang ditemui pada pesawat Boeing 777, milik Malaysia Airlines," kata Tiong Lai dalam satu kenyataan.
Dengan keputusan itu Tiong Lai memaklumkan pasukan berkenaan mengesahkan serpihan-serpihan tersebut hampir pasti adalah dari pesawat MH370.
Pengesahan ini juga adalah selari dengan pemeriksaan pada Mac, apabila pasukan penyiasat juga mengesahkan serpihan ditemui di Mozambique hampir pasti milik MH370.
Jelas Tiong Lai, kerajaan Malaysia berterima kasih kepada Mozambique, Mauritius Afrika Selatan bagi bantuan yang diberikan berhubung siasatan ini.
Kerajaan menurut beliau tetap komited meneruskan pencarian MH370 dengan kerjasama Australia dan China.
Sehingga kini, kawasan pencarian sudah meliputi 105,000 kilometer per segi.
#Liow Tiong Lai #MH370 #serpihan di Afrika Selatan #serpihan di Pulau Rodrigues #serpihan pesawat
;