Serpihan dijumpai di Tanzania sah milik MH370

Astro Awani
September 15, 2016 17:58 MYT
Serpihan itu mengandungi angka dan tarikh yang mengesahkan ia milik pesawat 9M-MRO yang dibina pada 23 Januari 2002. - Foto ATSB
Kementerian Pengangkutan memaklumkan serpihan pesawat yang dijumpai di Tanzania sebelum ini adalah milik pesawat Malaysia Airlines, MH370 yang hilang pada 2014.
Perkara terbabit disahkan selepas penelitian oleh pakar daripada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), menurut kementerian itu menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan petang tadi.
Serpihan itu dijumpai di Pulau Pemba, Tanzania pada 20 Jun lalu.
Menurut kenyataan itu lagi, ATSB telah mengenal pasti beberapa nombor bahagian, bersama penampilan fizikal, dimensi, dan pembinaan yang disahkan sebagai kepingan serpihan flaperon pesawat Boeing 777.

Angka dan tarikh milik MH370
Sementara itu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengulas mengenai pengesahan itu di Sepang petang tadi memaklumkan, serpihan terbabit turut mengandungi angka dan tarikh yang mengesahkan ia milik pesawat 9M-MRO yang dibina pada 23 Januari 2002.
Liow berkata pengeluar bahagian itu di Itali telah mengesahkan bahawa semua nombor pada bahagian tersebut berkaitan dengan nombor siri yang sama pada bahagian flaperon yang dihantar kepada Boeing sebagai nombor baris 404.
Pihak pengeluar juga mengesahkan bahawa nombor baris 404 pesawat dihantar kepada Malaysia Airlines (MAS) dan didaftarkan sebagai 9M-MRO (MH370).
"Oleh itu, pakar-pakar telah membuat rumusan bahawa serpihan tersebut iaitu bahagian flaperon adalah dari pesawat 9M-MRO, juga dikenali sebagai MH370," katanya.
Pihak penyiasat katanya akan meneruskan siasatan terhadap serpihan berkenaan yang mungkin memberi maklumat baharu tentang nasib yang menimpa pesawat MH370.

Ditemui nelayan Tanzania
Serpihan Itu sebelum ini dijumpai oleh nelayan tempatan sebelum diterbangkan ke Australia untuk dianalisa.
Dalam sidang media yang diadakan sebelum ini, Liow tidak menolak kemungkinan ia milik pesawat MH370.
Susulan itu Malaysia menghantar pasukan penyiasat bagi meneruskan siasatan.
Lokasi penemuan serpihan itu turut menepati corak aliran hanyut beberapa serpihan yang sebelum ini yang ditemukan berhampiran Afrika Selatan dan Mauritius.

Beberapa serpihan ditemui
Sejak tahun lalu, beberapa serpihan yang dikaitkan dengan pesawat MH370 berjaya ditemui.
Namun hanya bahagian flaperon yang dijumpai di Pulau Reunion telah disahkan milik MH370.
Penerbangan MH370 dilaporkan hilang di selatan Lautan Hindi selepas hilang dari imbasan radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 bersama 239 penumpang dan anak kapal.
Bangkai pesawat malang itu belum dijumpai walaupun operasi mencari besar-besaran dijalankan di selatan Lautan Hindi, dipercayai tempat bersemadinya pesawat tersebut.
#ATSB #liow tion lai #MH370 #serpihan dijumpai di tanzania
;