Serpihan dijumpai di Pulau Reunion pada 6 Mac tidak mungkin dari MH370 - JACC
Bernama
Mac 16, 2016 20:00 MYT
Mac 16, 2016 20:00 MYT
Serpihan yang dijumpai di Pulau Reunion yang ditadbir oleh Perancis tidak mungkin dari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa pegawai dari Malaysia masih meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa Perancis mengenai serpihan itu.
Pada 6 Mac, cebisan sayap pesawat tersebut dijumpai di Pulau Reunion oleh Johnny Begue, orang sama yang sebelumnya menemui cebisan serupa dari bahagian sayap yang disahkan dari MH370 tahun lepas.
Mengenai kedua-dua serpihan yang dijumpai di Mozambique oleh seorang warga Amerika dan seorang rakyat Afrika Selatan minggu lepas, JACC berkata serpihan itu akan dihantar ke makmal Biro Keselamatan Pengangkutan Australia di Canberra.
"Kedua-dua serpihan akan diperiksa oleh para penyiasat dari Australia dan Malaysia serta pakar-pakar dari syarikat Boeing untuk mengesahkan sama ada ia dari pesawat MH370 dan mengenal pasti asalnya," kata kenyataan itu.
Pesawat Boeing 777 Malaysia Airline itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang dari imbasan radar pada 8 Mac, 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
JACC berkata usaha menjejaki pesawat tersebut setakat ini telah menjangkau keluasan lebih 90,000 kilometer persegi di dasar laut.