Serpihan di Pulau Kangaroo, Madagascar belum sah milik MH370 - Liow
Astro Awani
Jun 11, 2016 12:59 MYT
Jun 11, 2016 12:59 MYT
Serpihan Boeing 777 yang dijumpai di perairan Pulau Kangaroo dan Madagascar belum lagi disahkan milik pesawat MH370.
Perkara ini dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Sabtu.
Katanya, kerajaan akan mendapatkan bantuan Australia untuk menganalisis serpihan pesawat yang dijumpai di situ.
"Sebelum ini sudah banyak serpihan MH370 ditemui di pelbagai negara namun masih ada yang belum dapat disahkan sama ada ia milik pesawat malang itu.
"Bagaimanapun, besar kemungkinan beberapa serpihan yang dijumpai di Afrika Selatan dan Mozambique sebelum ini milik MH370 kerana setakat ini, hanya satu pesawat Boeing 777 hilang di lautan iaitu MH370," kata Liow pada sidang media di Sungai Besar.
Tiga imej terbaharu dipercayai serpihan pesawat Malaysia Airlines MH370 dilapor sedang dianalisis pasukan pencarian.
Sementara itu, menurut rakaman di Channel Seven, serpihan yang dijumpai di Pulau Kangaroo itu dikatakan menyerupai bahagian pesawat dengan tulisan "Caution No Step" tertera di atasnya.
Setakat ini, lapan serpihan, tidak termasuk penemuan terbaharu dijumpai beribu-ribu kilometer dari kawasan pencarian di luar pantai Australia barat.
Lima daripadanya disifatkan mempunyai persamaan dengan Boeing 777, manakala tiga lagi masih dalam pemeriksaan.