Serpihan Boeing 777 lebih 90 peratus berkemungkinan daripada MH370 - DCA

Harits Asyraf Hasnan
Mei 14, 2016 18:37 MYT
AZHARUDDIN: Perkataan 'hampir pasti' itu (dalam industri penerbangan dan siasatan) adalah lebih 90 peratus. -Gambar fail
Serpihan pesawat yang dijumpai di Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues, Mauritius adalah 90 peratus berkemungkinan daripada pesawat MH370 yang hilang lebih dua tahun lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata peratusan itu merupakan takrifan istilah 'hampir pasti' yang digunakan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia ketika menyimpulkan serpihan itu konsisten dengan panel yang ada pada pesawat Boeing 777 berkenaan.
Kesimpulan itu dibuat selepas sepasukan pakar antarabangsa selesai melakukan pemeriksaan di Australia terhadap 'inlet cowling' bahagian enjin dengan separuh logo Rolls-Royce masih kelihatan, serta serpihan panel dalaman kabin.
"Serpihan itu memang daripada pesawat Boeing 777, itu pasti, namun pasukan penyiasat sukar untuk menentukan kaitannya dengan MH370 kerana serpihan berkenaan tidak ada hubungan langsung dengan pesawat itu, seperti nombor siri dan sebagainya.
"Perkataan 'hampir pasti' itu (dalam industri penerbangan dan siasatan) adalah lebih 90 peratus," katanya ketika ditemui selepas Forum Industri Penerbangan: Menuju Kehadapan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan maksud istilah "hampir pasti" yang digunakan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia dalam kesimpulannya terhadap hasil siasatan dua serpihan yang dijumpai itu.
Khamis lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, mengumumkan serpihan itu disahkan oleh pakar sebagai hampir pasti milik MH370.
Kesimpulan itu selari dengan hasil pemeriksaan pada Mac lalu apabila pasukan berkenaan mengesahkan serpihan yang dijumpai di Mozambique juga berkemungkinan besar berasal daripada MH370.
#Afrika Selatan #AZHARUDDIN ABDUL RAHMAN #hampir pasti #MH370 #Pulau Rodrigues #serpihan pesawat
;