Sering disalahguna penunggang motosikal, DBKL kaji semula laluan basikal

Afiq Ariffin
Januari 30, 2019 13:26 MYT
DBKL dalam proses mengkaji semula tempat yang sesuai dijadikan laluan basikal berikutan salahguna laluan itu oleh penunggang motosikal. -gambar Astro AWANI
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam perancangan untuk mengkaji semula kesemua laluan khas berbasikal di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.
Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, DBKL kini sedang mengenalpasti tempat yang sesuai dijadikan laluan berkenaan berikutan salah guna laluan itu oleh penunggang motosikal.
“Laluan ini kita kena kaji semula kerana kebanyakan laluan sedia ada tidak digunakan oleh penunggang berbasikal. Kita juga kena menggalakkan semula orang awam berbasikal dan menyusun laluan berkenaan supaya lebih praktikal untuk orang yang berbasikal,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Masyarakat Karbon Rendah Kuala Lumpur 2030 dan KL Integrated Submission System (KLIS) di ibu negara pada Rabu.
Laluan basikal sejauh 5.5 kilometer yang menghubungkan pusat beli-belah Mid Valley, Bangsar sehingga ke Dataran Merdeka itu telah diperkenalkan DBKL sejak April 2015.
Sementara itu, DBKL turut merancang untuk mengurangkan jumlah parkir di bandaraya bagi meminimakan penggunaan kereta di Kuala Lumpur.
Pada masa sama DBKL juga berhasrat menambah lebih banyak laluan bas Go-KL di dua laluan iaitu Lembah Pantai dan Setiawangsa untuk memudahkan golongan B-40 khususnya, mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam.
#Datuk Bandar Kuala Lumpur #Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan #DBKL #Go KL #kereta #Kuala Lumpur #laluan basikal #Motorsikal
;