Seri Paduka berkenan berangkat menghadap Presiden UAE yang baharu di Abu Dhabi

Bernama
Mei 16, 2022 22:26 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat menghadap Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan. - Foto ihsan Istana Negara
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat menghadap Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Istana Mushrif (Istana Presiden), Abu Dhabi pada kira-kira 12 tengah hari waktu tempatan.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin keberangkatan tiba Seri Paduka telah diterima oleh Sheikh Mohamed.
"Dalam pertemuan secara bersemuka selama hampir satu jam ini, Seri Paduka telah berkenan menyampaikan titah salam takziah kepada Presiden dan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu, seterusnya mengucapkan tahniah di atas pelantikan Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan sebagai Presiden dan Ketua Negara UAE yang baharu," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di akaun Facebook rasmi Istana Negara.
Menurut Ahmad Fadil, Seri Paduka turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, mantan Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi, dan mendoakan semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah SWT serta ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Katanya Seri Paduka menyifatkan pemergian Sheikh Khalifa sebagai kehilangan besar kepada rakyat UAE dan negara-negara Arab dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu ini.
Beliau berkata turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Pemerintah Fujarah Sheikh Hamad bin Mohammed Al Sharqi dan Pemerintah Syarjah Sheikh Sultan Al Mohamed Al Qasimi dan Menteri-menteri Kabinet UAE yang lain.
Menurut Ahmad Fadil, rombongan Seri Paduka ke Istana Mushrif turut diiringi beliau sendiri sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ketua Protokol Wisma Putra Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Datuk Rozainor Ramli, kata kenyataan itu.
Beliau berkata Malaysia dan UAE mempunyai hubungan dua hala yang amat rapat dan mesra di pelbagai peringkat termasuk kedua-dua pemimpin dan sesama rakyat.
Ahmad Fadil berkata Seri Paduka turut bertitah bahawa hubungan dua hala yang sedia ada terjalin antara kedua-dua negara akan terus dipertingkatkan khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.
"Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke Abu Dhabi ini adalah atas jemputan peribadi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan," katanya.
Kata Ahmad Fadil ketua-ketua negara yang lain juga turut hadir di Istana Mushrif pada hari ini bagi upacara menghadap Sheikh Mohamed dan memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sheikh Khalifa.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #berkenan berangkat menghadap #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan #presiden UAE #Istana Mushrif
;