Seret anjing betina guna rantai, lelaki dipenjara sehari dan denda RM12,000
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 29, 2024 14:16 MYT
Februari 29, 2024 14:16 MYT
BUKIT MERTAJAM: Padah menyakiti seekor anjing betina, seorang penjaja dipenjara sehari dan didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyeret seekor anjing betina menggunakan rantai, November tahun lepas.
Tertuduh Tan Chee Keong, 45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam dialek Hokkien di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan penjara enam bulan terhadap tertuduh sekiranya denda itu gagal dibayar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan sesuatu tindakan yang menyebabkan kesakitan tidak wajar iaitu menyeret seekor anjing betina jenis Mongrel berwarna perang di permukaan lantai jalan menggunakan seutas rantai sepanjang 182cm dengan menggunakan motosikal.
Perbuatan itu didakwa di lakukan di Taman Sukun Indah, Bukit Mertajam pada jam 12.06 tengah malam ,21 November tahun lepas.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 44(1) (d) Akta Binatang ( Pindaan ) 2013 ( Akta A1452) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 44(1) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh di denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Negeri Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Anas Hakimi.
Dalam prosiding itu, Roziman memohon mahkamah mengambil kira sensitiviti kes tersebut kerana ia kes tular selain menetapkan hukuman berat berbentuk pengajaran serta mengambil kira tentang kebajikan haiwan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh kemudian merayu kepada mahkamah untuk meringankan hukuman terhadap anak guamnya memandangkan ia adalah kesalahan pertama yang dilakukannya.
Katanya, tertuduh juga insaf dan menyesal atas perbuatannya itu, selain trauma susulan berdepan dengan pertuduhan itu hingga tidak berniaga selama dua bulan yang menyebabkan dia kehilangan pendapatan.
Selain itu, tertuduh yang tidak bekerja perlu menanggung isteri yang juga seorang orang kurang upaya (OKU) serta anak berusia 8 tahun.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 atau penjara 6 bulan sekiranya gagal membayar denda.