Serap pelajar PISMP, usaha tambah bilangan guru pendidikan khas
Hilmi Malik
Ogos 3, 2020 12:27 MYT
Ogos 3, 2020 12:27 MYT
Kementerian Pendidikan akan meneruskan pengambilan pelajar program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Khas di Institusi Pendidikan Guru sebagai usaha menambah bilangan guru pendidikan khas.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, seramai 180 orang pelajar PISMP telah ditawarkan tempat bagi tahun 2020.
“Dengan ini, jumlah bekalan guru baharu untuk tahun 2022 hingga 2025 adalah seramai 516 orang.
“Pada tahun 2020, KPM melaksanakan Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO) Pendidikan Khas kepada 360 orang guru arus perdana.
“KPM telah melakukan perancangan untuk melaksanakan pengambilan guru pendidikan khas secara kontrak pada tahun 2021 mengikut keperluan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berhung usaha kerajaan untuk menambah bilangan guru pendidikan khas.
Menurutnya lagi, sehingga Jun 2020 jumlah Murid Berkeperluan Khas (MBK) adalah seramai 92,755 orang manakala jumlah keseluruhan guru pendidikan khas pula adalah seramai 16,492 orang.
Katanya, KPM sentiasa komited dalam memastikan golongan MBK diberi peluang untuk mendapat akses kepada pendidikan yang bersesuaian dan relevan bergantung kepada kebolehan masing-masing termasuk bilangan guru yang mencukupi.
#guru
#Ijazah Sarjana Muda
#Kementerian Pendidikan
#Mah Hang Soon
#pendidikan guru
#pendidikan khas
#perguruan
#PISMP