Serangga ini telah membantu Malaysia jimat sehingga lebih RM40 bilion

Nizam Bakeri
Februari 23, 2016 08:00 MYT
Kumbang kelapa sawit Afrika atau nama saintifiknya Elaeidobius kamerunicus diimport dari Cameroon bermula pada tahun 1981 untuk membantu perladangan kelapa sawit tempatan - Foto PaDIL Australia
Sekali pandang, serangga ini sama seperti kumbang yang lain.
Namun tahukah anda kumbang kelapa sawit Afrika ini atau nama saintifiknya Elaeidobius kamerunicus telah membantu Malaysia menjimatkan AS$10 bilion (RM41.87 bilion)?
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengabadikan penghormatan kepada kumbang tersebut dalam ucapannya ketika merasmikan satu mesyuarat biodiversiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Isnin.
Najib turut menjelaskan ketika industri kelapa sawit masih lagi di peringkat awal, kumbang ini diimport dari Cameroon dan diperkenalkan dalam sektor perladangan tempatan bermula pada tahun 1981.
Kumbang ini memainkan peranan dalam proses pendebungaan pokok kelapa sawit yang sebelum ini terpaksa dilakukan sendiri oleh tenaga kerja manusia.
Pengenalan kumbang ini telah merangsang pengeluaran kelapa sawit negara di samping menjimatkan kos. Sejak tahun 1982 sehingga 2015, penjimatan dianggarkan bernilai sekitar AS$10 bilion dolar.
Dalam mesyuarat tersebut, Najib turut melancarkan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan yang disemak semula sebagai panduan pengurusan kepelbagaian biologi negara sehingga tahun 2025.
#biodiversiti #Kumbang kelapa sawit Afrika #Najib Razak
;