Serangan siber terhadap ATM, ini yang perlu anda tahu

Hakim Rahman
Disember 29, 2020 15:59 MYT
Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM merupakan aspek baharu dalam dunia ketenteraan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang dalam kenyataan pada Selasa mengesahkan portal rasmi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diserang oleh penggodam.
Berikut adalah lima perkara yang perlu anda tahu.
Apa yang berlaku?
Cubaan menggodam itu telah dikesan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM. Serangan siber tersebut gagal menjejaskan operasi portal sebenar sebaliknya hanya berjaya menggodam segmen tertentu yang telah diletakkan di luar rangkaian sejak awal lagi.
Apa yang dilakukan oleh ATM?
Sebaik serangan bermula, BSEP dan CDOC telah melaksanakan pengasingan trafik data bagi tujuan mengaburkan lokasi sebenar data-data berdarjah seterusnya melindungi rangkaian yang menjadi sasaran penggodam.
Menurut Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang, pihaknya berdepan dengan cubaan serangan siber yang berterusan dan sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa terutama melalui peranan BSEP dan CDOC yang bukan sahaja memperkukuhkan rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan Negara.
Apa puncanya?
Menurut Penganalisis Pertahanan dan Keselamatan, Datuk Dr Ruhanie Ahmad penggodam biasanya mempunyai dua matlamat utama iaitu menduga sistem pertahanan siber yang bebas daripada digodam atau "hack proof" atau cuba mencuri maklumat penting memandangkan Kementerian Pertahanan dan ATM merupakan nadi pertahanan negara. Malah katanya, semua bahagian perkhidmatan sensitif dalam kerajaan turut berdepan risiko sama.
Apa itu BSEP dan CDOC?
Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM merupakan aspek baharu dalam dunia ketenteraan. Bahagian baharu ini sama penting seperti cawangan udara dan darat.
Penganalisis menjangkakan peperangan di masa hadapan akan bermula dengan perang siber atau elektromagnetik. Contohnya penggunaan pesawat tanpa pemandu atau dron untuk melakukan serangan seperti yang berlaku di Timur Tengah.
Perlukah kita bimbang?
Penganalisis Pertahanan dan Keselamatan, Datuk Dr Ruhanie Ahmad mengatakan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang dengan cubaan godam ini kerana pihak berkuasa seperti ATM, Kementerian Pertahanan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa mengemas kini dan meningkatkan keupayaan BSEP dan CDOC baik dari aspek kemahiran kakitangan dan juga aset.
Malah aspek ini turut diberikan penekanan dalam Kertas Putih Pertahanan yang dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 2 Disember tahun lepas yang bertujuan menetapkan hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun bagi melindungi kepentingan Malaysia dan mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayah.
Serangan siber: ATM sahkan portal rasmi digodam
#Angkatan Tentera Malaysia #serangan siber #keselamatan #ATM #serangan #Majlis Keselamatan Negara #operasi #tentera #Affendi Buang
;