Serangan seksual kanak-kanak: Semua pihak diseru amal kawal selia kendiri dalam pelaporan - CMCF

Astro Awani
Februari 24, 2025 18:15 MYT
CMCF menegaskan kepentingan mematuhi garis panduan etika bagi mengelakkan pendedahan maklumat sensitif. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) melahirkan kebimbangan dengan laporan berhubung kes serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak, terutamanya dalam cara identiti dan ciri-ciri individu yang terlibat dilaporkan.
Justeru, CMCF menyeru semua pihak memainkan peranan dalam menguatkuasakan kawal selia kendiri serta memastikan pelaporan yang lebih bertanggungjawab dalam media dan platform digital.
CMCF menegaskan kepentingan mematuhi garis panduan etika bagi mengelakkan pendedahan maklumat sensitif yang boleh menjejaskan maruah mangsa atau menyumbang kepada stigma.
Pihak berkuasa turut disarankan agar memastikan kenyataan awam mematuhi garis panduan etika dengan mengelakkan pendedahan maklumat sensitif yang boleh menjejaskan maruah mangsa atau menyumbang kepada stigma," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
"Pengamal media juga kata CMCF perlu memastikan identiti mangsa kanak-kanak dilindungi selain mengelakkan daripada mensensasikan ciri-ciri yang tidak berkaitan, termasuk ketidakupayaan.
CMCF turut menekankan peranan pengguna media sosial dalam mengamalkan kebijaksanaan ketika berkongsi kandungan agar tidak menyebarkan kemudaratan atau stigma terhadap individu dan masyarakat yang terkesan.
Sementara itu, orang awam digesa untuk memainkan peranan aktif dalam kawal selia kendiri dengan melaporkan kandungan yang melanggar piawaian etika serta menyokong amalan media yang bertanggungjawab.
Sebagai badan yang mengawal selia kendiri, CMCF menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam mewujudkan ekosistem kandungan yang selamat, menghormati, dan bertanggungjawab.
CMCF turut menyatakan kesediaan untuk menyokong pengamal media, pihak berkuasa, dan orang awam menerusi pendidikan, panduan, dan dialog terbuka.
"Kerjasama daripada semua pihak adalah kunci utama dalam memastikan pelaporan yang lebih bertanggungjawab serta dapat membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan peka terhadap etika dalam penyebaran maklumat," tambah kenyataan itu.
#media sosial #kawalan kendiri #cabul #Kanak-kanak #Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia #CMCF
;