Serangan sekolah di Gaza: Malaysia kutuk serangan disengajakan Israel
Nursyazwani Saiful Sham
Ogos 11, 2024 12:30 MYT
Ogos 11, 2024 12:30 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan biadab oleh rejim Israel terhadap Sekolah al-Tabin di Bandar Gaza pada 10 Ogos lepas yang meragut lebih 100 nyawa rakyat Palestin yang berlindung di sekolah tersebut.
Wisma Putra dalam kenyataannya menyifatkan serangan tersebut disengajakan dan bukan sahaja merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia, tetapi juga merupakan satu jenayah kemanusiaan yang tidak terampunkan.
"Rejim Israel sekali lagi dengan jelas menunjukkan bahawa ia tidak mempunyai sebarang niat untuk mencapai perdamaian. Adalah amat melampau bagi masyarakat antarabangsa sepertinya tidak mengendahkan perbuatan keji Israel dalam pembunuhan wanita, kanak-kanak, dan warga tua tanpa sebarang hukuman.
"Masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bertolak ansur dengan keangkuhan rejim Israel. Janji-janji kosong kerajaan Israel untuk mencapai gencatan senjata kekal dalam rundingan damai yang sedang berlangsung tidak boleh dipercayai.
"Malaysia terus menyeru sekutu-sekutu rejim Israel agar memaksa Israel untuk segera menghentikan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa dan menghentikan segala sokongan yang membolehkan genosid ini diteruskan," jelasnya.
Pada masa sama, Malaysia mahu tindakan segera mendesak dan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu amat diperlukan untuk melaksanakan gencatan senjata kekal, memastikan bantuan kemanusiaan mengalir tanpa halangan ke Palestin, dan membawa rejim Zionis ke muka pengadilan atas jenayah perang yang dilakukan.
"Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti bersatu dan bekerjasama dengan semua Negara Anggota PBB untuk mendesak Israel mematuhi Resolusi UNSC 2735 (2024) dan menghormati Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa bertarikh 19 Julai 2024. Masa untuk bertindak adalah sekarang.
"Malaysia berdiri teguh dalam komitmennya terhadap keadilan dan keamanan, dan akan terus memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin. Malaysia tidak akan berhenti sehingga Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat ditubuhkan, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya yang sah, dan Palestin diiktiraf sebagai Negara Anggota Penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," tegasnya.