Serangan perisian tebusan di Malaysia naik lebih 37 peratus pada 2022
Bernama
Mac 22, 2023 05:15 MYT
Mac 22, 2023 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kes-kes serangan perisian tebusan dan pemerasan di Malaysia meningkat sebanyak 37.5 peratus pada 2022 dengan 11 kes dilaporkan merentas sektor-sektor utama, kata Palo Alto Networks.
Syarikat keselamatan siber yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu berkata, pelaku ancaman menggunakan taktik yang lebih agresif untuk menekan organisasi, dengan melakukan 20 kali gangguan secara lebih kerap berbanding pada 2021, menurut kes-kes tindak balas insiden Unit 42.
"Gangguan ini biasanya dilakukan melalui panggilan telefon dan emel yang menyasarkan individu tertentu, selalunya dalam C-suite, atau pelanggan, untuk menekan mereka supaya membayar wang tebusan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Palo Alto Networks juga berkata Laporan Perisian Tebusan dan Pemerasan 2023 oleh Unit 42 berkongsi pandangan itu berdasarkan penemuan yang dikumpul daripada kira-kira 1,000 kes sepanjang 18 bulan lalu.
"Serangan dalam sektor pendidikan dan pembuatan semakin meningkat disebabkan data bernilai tinggi mereka dan ia muncul sebagai sasaran utama selepas kes-kes yang sama berlaku agak sedikit pada tahun sebelumnya.
"Geng perisian tebusan yang mempunyai kaitan dengan Rusia, Lockbit 3.0, adalah penyerang terkemuka di negara ini. Lockbit adalah salah satu kumpulan perisian tebusan paling prolifik pada 2022 yang meningkatkan aktiviti mereka sekitar bermulanya perang Rusia-Ukraine," katanya.
Syarikat itu berkata kumpulan perisian tebusan menggunakan teknik pemerasan berlapis untuk impak yang lebih besar, yang bermatlamat mengenakan lebih banyak tekanan kepada organisasi supaya membayar tebusan.
"Beberapa taktik ini termasuklah enkripsi, kecurian data, penafian perkhidmatan teragih (DDoS) dan gangguan.
"Kecurian data, yang sering dikaitkan dengan kebocoran di web gelap, adalah taktik peras ugut yang paling biasa, dengan 70 peratus kumpulan menggunakannya menjelang akhir 2022, meningkat 30 mata peratusan daripada tahun sebelumnya," katanya.
Palo Alto Networks berkata penyelidik Unit 42 mendapati secara purata tujuh mangsa perisian tebusan baharu didedahkan setiap hari di web gelap, bersamaan seorang mangsa bagi setiap empat jam.
"Terdapat banyak serangan yang ketara pada tahun lalu daripada kumpulan perisian tebusan, dengan peningkatan tertentu dalam serangan ke atas sekolah dan hospital.
"Pada 2022, sebanyak 30 organisasi dalam senarai Forbes Global 2000 telah terjejas oleh cubaan pemerasan," tambahnya.
-- BERNAMA