Serangan pengganas Christchurch: Anwar cadang usul mengutuk serangan
Wan Syamsul Amly
Mac 18, 2019 12:06 MYT
Mac 18, 2019 12:06 MYT
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan Dewan Rakyat membahaskan usul membincangkan insiden serangan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand.
Katanya, usul itu adalah perkara yang tertentu bagi membincangkan insiden serangan keganasan di kedua-dua masjid berkenaan.
"Ia berkaitan dengan kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan memandangkan implikasi insiden ini menggugat keharmonian dan keamanan jika tidak dibendung segera.
"Usul ini berkaitan dengan kepentingan orang ramai memandangkan insiden ini melibatkan isu umat Islam dan agama lain sehingga mendorong melakukan keganasan dan kekejaman.
"Usul ini sewajarnya perlu disegerakan memandangkan implikasi insiden ini menggugat keharmonian dan keamanan jika tidak dibendung segera," katanya semasa mencadangkan usul itu dibahaskan di Parlimen, pada Isnin.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, usul itu akan dibahasakan di Parlimen pada 4.30 petang ini.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush berkata, angka kematian serangan pengganas masjid Christchurch meningkat kepada 50 selepas seorang mangsa ditemui di dalam salah satu masjid berkenaan.
Jelasnya, mangsa ditemui susulan pemeriksaan lanjut yang dijalankan di tempat kejadian.
#Anwar Ibrahim
#Christchurch
#Dewan Rakyat
#Masjid Al Noor
#Masjid Linwood
#Mike Bush
#Mohamad Ariff Md Yusof
#New Zealand
#serangan pengganas