Serangan memerang: Operasi Taman Perdana Tanjung Aru ditutup serta-merta

Sinar Harian
September 11, 2024 07:15 MYT
Sekumpulan memerang menyerang seorang individu dalam kejadian di sebuah taman rekreasi di Tanjung Aru pada Rabu. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Operasi di Taman Perdana Tanjung Aru diarah tutup serta-merta selepas notis dikeluarkan pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Penutupan itu susulan insiden serangan kumpulan memerang terhadap orang awam yang sedang berjoging di taman itu semalam.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, DBKK telah mengeluarkan notis pemakluman itu kepada pengusaha taman tersebut.
"Langkah penutupan ini diambil bagi menjamin keselamatan pengunjung dan memberi laluan kepada pihak DBKK, dengan kerjasama agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan lanjut.
"DBKK memandang serius insiden ini dan bertindak segera mengarahkan penutupan Taman Perdana Tanjung Aru bagi mengelakkan sebarang insiden lain yang tidak diingini," katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai mematuhi arahan penutupan itu bagi memastikan keselamatan bersama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, mangsa mengalami kecederaan pada tubuh badan akibat digigit dan dicakar haiwan tersebut.
Katanya, ketika kejadian, dua wanita masing-masing berusia 40 dan 54 tahun serta seorang lelaki berusia 56 tahun sedang berjoging.
"Ketiga-tiga mangsa yang sedang berjoging telah diserang secara tiba-tiba oleh sekumpulan memerang dari arah belakang.
"Kesemua mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki, tangan dan kepala akibat gigitan dan cakaran haiwan tersebut," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Bagaimanapun, Kasim berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkaitan kes tersebut.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan, pihak Jabatan Hidupan Liar Sabah mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian serangan melibatkan kumpulan haiwan tersebut di sebuah pusat rekreasi di Tanjung Aru.
Siasatan awal mendapati kumpulan memerang itu telah memasuki taman rekreasi itu untuk mencari makanan di kolam di taman tersebut. - Sinar Harian
#memerang #Taman Perdana Tanjung Aru ditutup #joging di taman rekreasi #Kota Kinabalu
;