Serangan masjid Christchurch: Tiga rakyat Malaysia cedera, seorang masih hilang
Astro Awani
Mac 15, 2019 07:45 MYT
Mac 15, 2019 07:45 MYT
Empat rakyat Malaysia disahkan terlibat dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand, pada Jumaat, tiga daripadanya cedera dan seorang masih belum dapat dikesan.
Perkara itu disahkan Nur Izzah Wong Mee Choo, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, ketika dihubungi Astro AWANI pagi ini, yang menyatakan individu yang hilang dikenali sebagai 'Haziq'.
"Setakat ini, kita sahkan, tiga rakyat Malaysia cedera, satu tak dapat dikesan. Saya sedang menghubungi pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan senarai rasmi mangsa yang terlibat.
"Yang tidak dapat dikesan ialah Haziq, anak kepada salah seorang mangsa yang cedera," kata Wong yang berada di Wellington, ibu negara New Zealand.
"Atas persetujuan keluarganya, kita telah daftarkan nama Haziq sebagai 'missing person' (orang hilang), jadi dia masih sedang dikesan," tambahnya.
Pada Jumaat, Wisma Putra menyatakan dua rakyat Malaysia cedera dalam insiden itu, dengan media tempatan mengenal pasti mereka sebagai Mohd Tarmizi Shuib dan Rahimi Ahmad.
Bagaimanapun, dipercayai, seorang lagi yang telah dikenal pasti turut tercedera ialah Nazril Hisham Omar, sepertimana diakui isterinya yang berada di Malaysia, yang dihubungi media tempatan.
Menurut Wong, pegawainya sedang dalam perjalanan ke Christchurch untuk memberi bantuan dari segi kaunseling kepada keluarga mangsa yang terlibat.
Bagaimanapun, beliau berkata, difahamkan keadaan di sekitar lokasi kejadian ketika ini kembali tenang dan arahan berkurung kepada rakyat tempatan telah ditamatkan.
"Setakat ini, yang kami faham dari orang tempatan, semalam arahan berkurung telah ditamatkan dan semua dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
"Tetapi, akses ke hospital masih terhad, di mana hanya keluarga mangsa sahaja yang dibenarkan pergi ke hospital," katanya.
Pada tengah hari Jumaat waktu tempatan, insiden tembakan berlaku di dua masjid di Christchurch, menyebabkan sekurang-kurangnya 49 maut dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam apa yang disifatkan oleh Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern sebagai serangan pengganas.
Ditanya berapa ramai warga Malaysia yang berada di Christchurch ketika ini, Wong berkata, menurut rekod pihaknya, terdapat kira-kira 1,000 rakyat Malaysia yang berdaftar dan 208 lagi pelajar.
Mengenai bagaimana pihaknya menyalurkan maklumat kepada ahli keluarga atau rakan mangsa di New Zealand, beliau berkata, pihaknya menghubungi semua warga Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan.
"Kami hubungi mereka setiap seorang, juga hubungi semua pelajar di Canterbury dan Lincoln University di sana, begitu juga persatuan Malaysia dan komuniti Malaysia di Christchurch yang kita tahu, untuk mengesan warga Malaysia lain dan memastikan keselamatan mereka," tambahnya.
#cedera
#Christchurch
#Malaysia
#mangsa
#masjid
#New Zealand
#Nur Izzah Wong Mee Choo
#orang hilang
#Pesuruhjaya Tinggi
#rakyat Malaysia
#serangan
#serangan pengganas
#tembakan
#Tragedi Solat Jumaat
#Wisma Putra