Serangan masjid Christchurch: Kecekapan kerajaan beri ketenangan - Reezal
Wan Syamsul Amly
Mac 18, 2019 18:06 MYT
Mac 18, 2019 18:06 MYT
Kecekapan kerajaan khususnya tindakan tangkas Kementerian Luar dalam menguruskan isu Christchurch memberikan ketenangan kepada kaum keluarga yang terlibat di Malaysia.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan ucapan terima kasih juga harus diberi kepada masyarakat yang mendoakan agar mereka yang berada di Christchurch cepat pulih daripada trauma dan fobia susulan insiden tersebut.
Bagaimanapun, rakyat Malaysia tidak dapat menyembunyikan kesedihan lebih-lebih lagi mereka yang terkorban adalah mereka yang tidak mempunyai rasa kebencian kepada mana-mana bangsa.
"Ada di kalangan mangsa, berada di New Zealand, mencari tapak dan kehidupan baharu, untuk hidup dan mencari keredaan Allah tanpa menganggu-gugat kehidupan orang lain.
"Nyawa anak kecil seperti Abdullah Dirie (4 tahun), Mucad Ibrahim (3 tahun), Sayyad Milne (14 tahun), Musa Patel dan hampir 47 orang yang lain diragut secara kejam oleh seorang pelampau yang ganas.
"Lebih menyakitkan, pelampau ganas ini merakam tindakannya seperti mahu menceritakan tragedi kejam ini sebagai sebuah naskhah kejayaan," katanya semasa menyokong usul mengutuk serangan Christchurch di sidang Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Jelasnya, tragedi itu adalah sesuatu yang terlalu menyedihkan, merentap dan meluluhkan hati.
Tegasnya, mana-mana pihak yang menjadi penyokong senyap suspek utama kejadian, Brenton Tarrant disifatkan tiada tempat di dunia ini.
Reezal Merican turut menyamakan golongan itu sebagai gemar mencetuskan kekacauan di atas nama perjuangan yang rosak dan bersikap keji.
Pada Sabtu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengesahkan undang-undang senjata api negara itu akan dipinda susulan serangan pengganas di masjid Christchurch.
Dalam satu sidang media di Wellington, Ardern berkata satu mesyuarat kabinet khas akan diadakan pada Isnin bagi membincangkan polisi kerajaan negara itu dan isu pengganas serta keselamatan orang awam.
#Abdullah Dirie
#Dewan Rakyat
#Jacinda Ardern
#Mucad Ibrahim
#pulih daripada trauma
#Reezal Merican
#Sayyad Milne
#serangan masjid Christchurch