Serangan Israel terhadap UNIFIL tindakan tidak bertamadun - Mohamed Khaled
Firdaus Azil
Oktober 14, 2024 18:30 MYT
Oktober 14, 2024 18:30 MYT
KUALA LUMPUR: Serangan rejim Zionis Israel ke atas anggota Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) jelas merupakan satu serangan ke atas PBB dan masyarakat dunia, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, beliau berkata, penglibatan pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 adalah di bawah panji-panji dan mandat PBB.
Tugas dan tanggungjawab mereka, jelas Mohamed Khaled lagi, adalah tertakluk kepada protokol dan peraturan yang telah ditetapkan oleh UNIFIL, dan Kementerian Pertahanan (Mindef) akan mematuhi segala ketetapan dan keputusan yang diputuskan oleh UNIFIL dan PBB tentang peranan UNIFIL selanjutnya di Lubnan.
“Israel mesti menghormati mandat tersebut dan tidak mengheret UNIFIL ke kancah konflik Israel –Hezbollah. Serangan ke atas anggota UNIFIL adalah serangan terhadap PBB dan masyarakat dunia.
“Ia adalah perbuatan yang melanggar segala norma undang-undang antarabangsa dan sangat tidak bertamadun,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, Mindef melalui Kementerian Luar Negeri akan berhubung dengan PBB melalui saluran yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan pasukan pengaman Malaysia berada dalam keadaan yang baik dan bertugas selari dengan mandat yang diperuntukkan.
Beliau berkata, Mindef akan terus memantau dengan dekat perkembangan terkini di Lubnan, dan tindakan seterusnya akan diputuskan oleh setelah Kerajaan berbincang dengan UNIFIL dan PBB.