Serangan Israel di Lubnan, tentera Malaysia diarah berlindung dalam kubu

Faida Rahim
Oktober 11, 2024 12:00 MYT
Keputusan sama ada untuk membawa pulang pasukan MALBATT akan diputuskan oleh UNIFIL secara bersama. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan telah diarahkan tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik, sebaliknya berlindung di dalam kubu susulan provokasi tentera Israel.

Ringkasan AI
  • Pasukan MALBATT 850-11 di Lubnan telah diarahkan berlindung dalam kubu selama 12-13 jam akibat provokasi tentera Israel, tanpa menjalankan operasi rondaan atau logistik.
  • Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin, menegaskan bahawa keselamatan pasukan MALBATT sentiasa dipantau, dengan keputusan sama ada mereka akan dipindahkan bergantung kepada UNIFIL.
  • Terdapat peningkatan serangan Israel di Lubnan, termasuk serangan yang mencederakan dua anggota pengaman Indonesia di bawah UNIFIL, yang turut mendorong Indonesia memindahkan beberapa warganya dari Lubnan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya memberi jaminan sentiasa mengutamakan keselamatan pegawai dan anggota pasukan berkenaan yang sedang bertugas dalam misi pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).
“Mereka sentiasa ada dalam bunker (kubu). Satu jangka masa berada di dalam bunker sekitar 12-13 jam. No activity tetapi UNIFIL masih belum buat keputusan sama ada untuk (MALBATT) dipindahkan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun keadaan tegang disebabkan provokasi Israel, keputusan sama ada untuk membawa pulang pasukan negara itu hanya akan diputuskan oleh UNIFIL secara bersama.
Beliau berkata demikian di Majlis Peluncuran Inisiatif ‘Perajurit Broadband’ di Auditorium Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Pertahanan sentiasa memantau keadaan pasukan MALBATT.
“Kita dalam sehari tiga hingga empat kali dapat laporan. Kita sedang teliti, memang kita tidak nafikan pihak Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah melakukan provokasi kepada pasukan Ireland berdekatan sempadan Lubnan.
"Pasukan kita atas sikit, jadi kita tunggu keputusan bersama,” katanya.
Israel telah meningkatkan kekerapan serangan di Lubnan sejak minggu lalu dan terbaharu, dua anggota pengaman Indonesia yang bernaung di bawah UNIFIL cedera dalam serangan Israel.
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi mengesahkan bahawa kedua-dua anggota itu mengalami cedera ringan akibat tembakan kereta kebal Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika sedang memantau dari menara pengawal di pangkalan kontinjen Indonesia di Naqoura pagi Khamis.
Terdahulu, Kementerian Luar Indonesia mengumumkan memindahkan 65 warganya dari Lubnan susulan serangan udara Israel di negara itu.
Menurut Judha Nugraha, pengarah perlindungan warga kementerian berkenaan, 25 daripada mereka yang dipindahkan telah pulang ke tanah air, manakala selebihnya mendarat di Amman, Jordan.
#MALBATT #Gaza #terkini #serangan Israel #lubnan
;