Serangan gajah di Felda Lok Heng mungkin berlarutan hingga lima tahun
Sinar Harian
Mac 9, 2022 09:30 MYT
Mac 9, 2022 09:30 MYT
KOTA TINGGI: Peneroka di Felda Lok Heng Timur dan Felda Lok Heng Barat berkemungkinan terpaksa terus menanggung kerugian dalam tempoh lima tahun akan datang ekoran peningkatan serangan gajah liar di kawasan tanaman mereka.
Ketua Peneroka Felda Lok Heng Timur, Saadan Sairi berkata, isu yang mula dihadapi peneroka sejak 2018 itu dijangka bakal terus berlarutan kerana kehadiran gajah liar tersebut dipercayai berlaku disebabkan usia tanaman di kawasan tersebut yang masih muda.
“Gajah ini sifatnya memang nak makan dan kawasan di Lok Heng Barat ini memiliki pokok kecil yang masih lagi di berusia bawah 15 tahun.
"Pokok itu rendah, jadi gajah boleh makan (hasil tanaman). Kalau tempat lain pokok sawit dah tinggi, dia tidak boleh nak makan.
“Jadi jika tidak ada sebarang usaha menyeluruh bagi menyelesaikan punca utama serangan ini, maka kami di Lok Heng Timur dan Lok Heng Barat mungkin terpaksa berhadapan dengan masalah ini lebih kurang lima ke enam tahun lagi sebab nak tunggu pokok itu tinggi,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Pada masa sama, Saadan berkata, peningkatan jumlah gajah di Hutan Panti, di sini juga berkemungkinan menjadi antara faktor menyebabkan berlakunya kekerapan serangan gajah liar di kawasan tersebut.
Menurutnya, berdasarkan pemantauan bersama pihaknya dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendapati serangan haiwan tersebut di kawasan berkenaan lazimnya membabitkan sekitar enam ekor gajah yang hadir secara berkumpulan.
Katanya, turut terkesan dengan serangan gajah itu adalah beberapa kawasan Felda di sekitar antaranya Felda Bukit Easter, Felda Air Tawar 3 dan Felda Pasak.
Beliau berkata, beberapa usaha yang pernah dibuat sebelum ini antaranya melalui pembinaan parit sepanjang 11 kilometer dan pembinaan pagar elektrik juga dilihat tidak dapat menangani masalah tersebut dengan lebih berkesan.
Saadan berkata, isu tersebut diharapkan dapat diselesaikan secara menyeluruh dengan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Perhilitan di bawah kerajaan Persekutuan, jadi kita berharap mereka ini (Perhilitan) dapat selesaikan masalah gajah ini dengan memindahkan haiwan tersebut di kawasan lain.
“Kita bukan nak menganiaya haiwan ini tetapi biarlah gajah ini dipindahkan ke kawasan lain yang hutannya lebih tebal dan sumber makanannya juga mencukupi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saadan berkata, untuk tempoh tiga tahun lalu sahaja, serangan gajah liar di Felda Lok Heng Timur telah menyebabkan kemusnahan hampir 6,000 pokok milik peneroka manakala kerosakan tanaman di Lok Heng Barat dipercayai telah mencecah belasan ribu pokok.
Saadan berkata, untuk meringankan beban peneroka, Felda telah memperuntukkan sebanyak RM100 bagi setiap ekar tanah kepada peneroka yang terjejas.
Bagaimanapun, beliau berkata, ia masih tidak mampu untuk menampung sepenuhnya kerugian dihadapi peneroka yang mengalami kemusnahan tanaman akibat serangan haiwan liar tersebut.
“Dengan harga kelapa sawit yang tengah tinggi sekarang ini, peneroka yang terjejas memang terpaksa tanggung kerugian. Maknanya sekarang ini kalau orang lain dapat pendapatan berbelas ribu, mereka hanya dapat sekitar RM1,200 sahaja” ujarnya.
*Berita asal di Sinar Harian